Muhaamad Hafis Nawawi


LELAKI warga Bangladesh berusia 31 tahun ditahan ketika cuba meloloskan diri melalui longkang Jalan 4/37 menghala Jalan 4/35 di Petaling Jaya yang berada di luar pagar kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) hari ini.

Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faizal berkata, suspek ditahan jam 6.05 pagi, hasil pemeriksaan mendapati lelaki itu sudah menjalani ujian saringan awal Covid-19 semalam dan mempunyai surat perintah kuarantin sehingga 23 Mei ini.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 22 (b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, Seksyen 15 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63.

"Sementara itu, seramai 1,400 orang sudah menjalani ujian saringan, 1,024 warga tempatan dan 376 bukan warganegara.

REAKSI penduduk Seksyen 2 yang berada di dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Petaling Jaya. FOTO ASYRAF HAMZAH
REAKSI penduduk Seksyen 2 yang berada di dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Petaling Jaya. FOTO ASYRAF HAMZAH

"Pada masa sama, pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sudah membuat penjadual agihan barang makanan berupa barangan makanan kering, basah dan ubat-ubatan kepada penduduk di kawasan PKPD terbabit," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Nik Ezanee berkata, JKM turut menetapkan satu hari bagi mengurus semua aduan penduduk yang diterima melalui bilik gerakan PKPD Pasar Jalan Othman selain JKM turut menguruskan semua sumbangan diterima daripada wakil Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri di Petaling Jaya.

"JKM juga akan membuat agihan bakul makanan pada 15 Mei ini bagi fasa kedua.

"Sebarang pertanyaan orang ramai boleh menghubungi bilik gerakan PKPD Pasar Jalan Othman di talian 013-2666165 yang beroperasi 24 jam," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Mei 2020 @ 4:43 PM