RAKAMAN CCTV menunjukkan suspek menyimbah minyak dan membakar kereta mangsa. FOTO tular
RAKAMAN CCTV menunjukkan suspek menyimbah minyak dan membakar kereta mangsa. FOTO tular
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Gara-gara cinta ditolak, lelaki berusia 29 tahun bertindak membakar kereta seorang wanita di sebuah pangsapuri di Taman Bukit Serdang di sini, Ahad lalu.

Perbuatan lelaki itu menyebabkan sebuah kenderaan lain yang diparkir bersebelahan turut musnah terbakar.

Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner A A Anbalagan berkata, kejadian jam 5.20 pagi disedari jiran yang segera memaklumkan kepada mangsa.

"Mangsa turun ke bawah pangsapuri untuk melihat keretanya dan mendapati pihak bomba sedang memadamkan kebakaran.

"Berdasarkan soal siasat dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang berjaya menahan suspek di kawasan Bandar Kinrara pada hari sama," katanya dalam kenyataan hari ini.

Anbalagan berkata, polis merampas sebuah motosikal, sepasang kasut dan pakaian serta pemetik api yang digunakan semasa kejadian.

"Hasil soal siasat, suspek mendakwa membakar kereta mangsa kerana tidak puas hati selepas cintanya ditolak sejak setahun lalu.

"Semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan ujian air kencing juga negatif dadah," katanya.

Katanya, suspek direman lima hari bermula semalam sehingga Jumaat ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, tular di media sosial rakaman CCTV berdurasi satu minit 28 saat menunjukkan seorang lelaki menunggang motosikal berhenti berhampiran kereta mangsa lalu menyimbah sesuatu dipercayai minyak dan menyalakan pemetik api.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Disember 2021 @ 10:08 PM