KEADAAN kediaman penduduk yang dimasuki air akibat banjir kilat. FOTO Rosman Shamsudin
KEADAAN kediaman penduduk yang dimasuki air akibat banjir kilat. FOTO Rosman Shamsudin
Rosman Shamsudin


KIRA-kira 20 rumah dimasuki air akibat banjir kilat di Kampung Jalan Baru Menderang, Sungkai, petang tadi.

Hujan lebat bermula 5 petang menyebabkan air Sungai Menderang melimpah memasuki kampung berhampiran sehingga ada penduduk tidak sempat menyelamatkan harta benda.

Penduduk, Mohd Daud Idris, 63, berkata, hujan lebat selama dua jam menyebabkan penduduk terpaksa berbuka puasa dalam banjir sementara menunggu surut.

Menurutnya, paras air yang naik mendadak menyebabkan ada segelintir penduduk tidak sempat menyelamatkan barang.

"Inilah dugaan Ramadan yang terpaksa ditempuhi oleh penduduk. Kami terpaksa berbuka puasa di dalam banjir.

"Saya tidak sangka hujan lebat menyebabkan berlakunya banjir kilat di kampung," katanya ketika ditemui, dekat sini.

Sementara itu, hujan lebat di Tanjung Malim turut menyebabkan kira-kira 12 rumah di sekitar Kampung Berop dimasuki air.

Penduduk, Anuar Aziz, 30, berkata, paras air di kawasan kampung mulai naik kira-kira 6.30 petang sehingga 9 malam.

Katanya, dia tidak sempat menyelamatkan barang dalam rumah menyebabkan perabot dan barangan elektrik rosak.

"Dalam minggu ini, sudah kali kedua rumah saya dilanda banjir kilat.

"Saya berharap pihak berkuasa tempatan (PBT) menyelenggara kembali sistem perparitan di kampung ini yang dipercayai menyebabkan punca berlakunya banjir kilat," katanya.

Difahamkan, Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Sulizmie Affendy Sulaiman bersama Ketua Balai Polis Tanjung Malim, Inspektor Mohd Fairuz Faizal serta kakitangan Majlis Daerah Tanjung Malim (MDTM) membuat pemantauan kawasan banjir dekat Kampung Berop malam tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Mei 2020 @ 12:55 AM