Syaherah Mustafa


SEORANG ibu tunggal mencari rezeki dengan menjual kekabu yang dikumpul hampir setiap hari, bagi menampung kehidupan keluarganya di Kampung Kok Pauh, Rantau Panjang.

Rohayu Mohd Kilat, 45, yang juga bekerja sebagai tukang kebun sekolah berkata, dia lebih aktif mengumpul kekabu sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) apabila menghadapi kesukaran mencari pendapatan lain.

Katanya, dia perlu mencari duit lebih sepanjang tempoh PKP, apabila tiga daripada empat anaknya yang biasanya berada di rumah anak yatim di Kota Bharu, turut pulang tinggal bersamanya.

"Akibat kesempitan hidup selepas kematian suami (P Ramly Mahmud), sejak lima tahun lalu kerana batuk kering, saya terpaksa menempatkan tiga anak perempuan berusia 14 hingga 19 tahun di rumah anak yatim demi kehidupan mereka yang lebih baik.

"Saya ditemani seorang anak lelaki (Mohd Saifullah P Ramly, 18) di rumah kerana bimbang dengan keselamatan diri. Setiap hari sepanjang PKP, saya keluar mencari kekabu di sekitar rumah seawal 7 pagi memandangkan tanaman ini sukar dikumpul jika keadaan sudah berangin," katanya.

Rohayu berkata, selepas kekabu dibuang biji dan diasingkan, dia akan menjual dengan harga RM15 untuk sekilogram dan biasanya pelanggan datang terus ke rumah untuk membeli kekabu bagi tujuan membuat bantal atau tilam.

ROHAYU mengasingkan kekabu sebelum dimasukkan ke dalam guni untuk dijual. FOTO Syaherah Mustafa
ROHAYU mengasingkan kekabu sebelum dimasukkan ke dalam guni untuk dijual. FOTO Syaherah Mustafa

"Saya tidak menyangka usaha arwah suami menanam pokok kekabu sebelum ini akhirnya memberi rezeki buat kami sekeluarga. Hasil tanaman itu kini boleh dijual dan memberi kami pendapatan walaupun ia tidaklah seberapa.

"Setiap hari saya menghabiskan masa beberapa jam di bawah rumah untuk mengasingkan kekabu dari bijinya sebelum dimasukkan ke dalam guni untuk dijual. Kadang-kadang rasa sakit dan sengal di badan, namun demi mencari sesuap nasi saya tahan sahaja," katanya.

Menurutnya, dengan kepulangan anaknya di rumah, beban untuk menghasilkan kekabu berkurangan kerana dibantu mereka.

"Selagi rezeki ini halal, saya akan usahakan supaya tidak nampak lemah biarpun bergelar ibu tunggal selain berharap sentiasa diberi kesihatan yang baik dan berpanjangan untuk menempuh kehidupan ini," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Mei 2020 @ 4:19 PM