KEREPEK ngaku atau sengkuang cina yang dihasilkan Rohayu. FOTO Bernama
KEREPEK ngaku atau sengkuang cina yang dihasilkan Rohayu. FOTO Bernama
BERNAMA

Kota Bharu: Menjelang perayaan Tahun Baharu Cina, kerepek ngaku atau sengkuang cina pastinya menjadi kudapan pilihan masyarakat Cina memandangkan ia sejenis ubi bermusim setahun sekali antara Disember hingga Februari sahaja.

Peniaga kerepek ngaku, Rohayu Wahidin, 35, berkata, dia tidak menang tangan untuk menyiapkan permintaan penggemar kerepek ngaku kerana rata-rata pelanggannya sudah mengetahui bila musim ubi ngaku akan muncul.

"Idea mengusahakan ubi ngaku ini tercetus apabila melihat Facebook rakan saya membuat kerepek itu dan saya pergi ke pasar raya di Kota Bharu, saya ternampak ubi ngaku dijual sebelum terus membelinya untuk cuba memproses ubi itu di rumah.

"Kita boleh makan ubi ngaku ini sekali setahun sahaja, musim lain memang sukar untuk menemuinya, sebab itulah ia unik dan ramai tidak tahu mengenai ubi ngaku ini," katanya ketika ditemui Bernama di kediamannya dekat Kampung Panji, di sini, baru-baru ini.

Wanita berasal dari Bukit Sagu di Kuantan, Pahang itu berkata, selepas meletakkan gambar kerepek ngaku di Facebook, permintaan terhadap kerepek itu masih mendapat sambutan meskipun harganya agak mahal berbanding jenis kerepek sedia ada di pasaran.

"Saya menjual ubi ngaku ini dengan harga sangat berpatutan mengikut saiz berat diletakkan di dalam balang kerana harga ubi ngaku mentah sekitar RM10 hingga RM12 sekilogram.

"Bagi saiz paling kecil iaitu saiz 'S' beratnya adalah 80 gram (g) dijual dengan harga RM10, saiz 'M' (130g) bernilai RM17 dan saiz 'L' (320g) berharga RM34," katanya yang telah menetap di Kelantan sejak lebih sembilan tahun.

Rohayu berkata, kaedah untuk memproses kerepek ngaku itu tidaklah sukar kerana ia sama seperti pembuatan kerepek ubi lain yang perlu dikupas kulitnya sebelum digoreng.

Menurutnya, selepas kulit ubi ngaku dikupas, ia perlu dibasuh dan sagat ubi sebelum dimasukkan ke dalam minyak yang mendidih bagi mengelak ia melekat, setelah garing ia ditos dan disejukkan.

Katanya, kerepek ngaku asli tidak perlu diletakkan garam, namun terdapat sesetengah pelanggan gemarkan rasanya sedikit masin.

"Bagi musim ini, lebih 70 kilogram kerepek ngaku saya dijual secara dalam talian dan kaedah bayar selepas terima (COD) atau penghantaran kepada pelanggan dari serata tempat sama ada dalam atau luar negara seperti Singapura.

"Pelanggan kerepek ngaku ini terdiri daripada pelbagai kaum, Cina, Melayu dan India. Kerepek ini rangup, rasa lemak, manis dan masin.

"Kerepek ngaku dipercayai mempunyai banyak khasiat yang baik untuk kesihatan, malah hasil jualan secara kecil-kecilan dari rumah ini saya dapat meraih pendapatan purata RM2,000 hingga RM3,000 sebulan," katanya.

Rohayu berharap perniagaan diusahakannya itu mendapat bantuan daripada mana-mana agensi berkaitan seperti mesin sagat, mesin pengering minyak dan set dapur.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 January 2022 @ 3:03 PM