SUASANA di perkarangan Kompleks PAS Kedah di mana pertemuan pemimpin PAS negeri bersama Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan diadakan pagi ini.
SUASANA di perkarangan Kompleks PAS Kedah di mana pertemuan pemimpin PAS negeri bersama Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan diadakan pagi ini.
M Hifzuddin Ikhsan


PEMIMPIN PAS Kedah hari ini, mengadakan pertemuan tertutup bersama kepimpinan Pusat parti itu, dipercayai bagi membincangkan peralihan kuasa kerajaan negeri dan calon Menteri Besar baharu.

Pertemuan di Kompleks PAS Kedah itu dihadiri Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan; Pesuruhjaya PAS Kedah, Ahmad Yahaya dan Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor.

Difahamkan, semua 15 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PAS menghadiri pertemuan berkenaan.

Turut dilihat memasuki bangunan Kompleks PAS Kedah adalah dua wakil UMNO iaitu ADUN Bandar Baharu, Datuk Norsabrina Mohd Noor dan ADUN Sungai Tiang, Datuk Suraya Yaakob.

Semalam, Takiyuddin yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri bersama Timbalan Menteri Sumber Manusia, Awang Hashim turut mengadakan pertemuan bersama Ketua Polis Kedah, Datuk Zainuddin Yaacob di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah.

Rabu lalu, PAS Kedah mengumumkan keyakinan mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri Pakatan Harapan (PH) yang dipimpin Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Keyakinan itu bersandarkan semangat kerjasama Muafakat Nasional antara PAS dan UMNO yang kini memiliki 17 kerusi DUN, selain kepincangan dan permasalahan yang berlaku dalam kalangan ADUN PH ketika ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Mei 2020 @ 10:44 AM