ORANG ramai membeli-belah di Jalan Masjid India ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). FOTO Aswadi Alias.
ORANG ramai membeli-belah di Jalan Masjid India ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). FOTO Aswadi Alias.
Raja Noraina Raja Rahim


PELAKSANAAN Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan Covid-19 sudah pun di fasa keempat yang akan berakhir pada 12 Mei ini.

Tempoh PKP yang berlanjutan hampir dua bulan itu dianggap masih belum cukup untuk mengawal penularan wabak dalam komuniti.

Pakar virologi, Prof Dr Sazaly Abu Bakar berkata, penelitian semasa terhadap kadar penularan wabak di Malaysia ketika ini menyaksikan dua daripada 1,000 individu yang disaring disahkan positif Covid-19 iaitu 0.2 peratus.

Berikutan itu, beliau menjangkakan, penularan Covid-19 akan 'meletup' dan mencetuskan kluster baharu sekiranya kerajaan mengambil keputusan untuk menamatkan PKP serta Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

"Apa berlaku sekarang ini selepas kelonggaran diberikan, kita ada kluster baharu seperti pekerja kilang di Pedas, pekerja tapak pembinaan dan pengawal keselamatan di pasar raya.

"Kluster ini akan timbul ibarat 'cendawan tumbuh selepas hujan'. Saya tidak menolak kemungkinan akan berlaku penularan berskala besar seperti kluster perhimpunan Masjid Seri Petaling.

"Kes jangkitan baharu akan sentiasa ada. Rakyat Malaysia perlu bersedia kerana sesiapa sahaja boleh jadi pembawa," katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Terdahulu, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dilaporkan berkata, sebarang syor terbaharu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kepada kerajaan berhubung penamatan atau sambungan PKPB adalah berdasarkan perkembangan semasa Covid-19 di negara ini.

Sama ada PKP dilanjutkan atau sebaliknya, Sazaly berkata, kerajaan perlu menetapkan prosedur operasi standard (SOP) yang tidak membenarkan sebarang bentuk perhimpunan melebihi 300 orang dalam satu masa dan perlu dipatuhi semua pihak.

"Kalau lepas ini dibenarkan solat di masjid, mungkin jemaah tidak boleh ramai.

"Ia mengambil kira kadar penularan wabak antara 0.1 sehingga 0.2 peratus iaitu jika ada 500 orang bermakna akan ada seorang positif. Oleh itu, kita tidak boleh ada lebih daripada jumlah itu untuk elak jangkitan.

"Masyarakat juga perlu sentiasa amalkan kebersihan diri termasuk menggunakan pelitup muka dan cecair pembasmi kuman. Sebolehnya elak berada di tempat ramai seperti pasar raya dan sebagainya," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Mei 2020 @ 5:00 PM