Foto hiasan
Foto hiasan
BERNAMA

PELAKSANAAN Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula 4 Mei lalu, yang menyaksikan sebahagian besar aktiviti ekonomi dan sosial dibenarkan untuk beroperasi semula bukanlah bermakna orang ramai boleh kembali kepada kehidupan mereka sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan.

PKP dikuatkuasakan selama 47 hari bermula 18 Mac bagi membendung penularan virus Covid-19 dan selepas melalui empat fasa dengan peraturan yang ketat menunjukkan kejayaan dalam memastikan jangkitannya semakin berkurangan.

PKPB pula dilaksanakan dengan kelonggaran tertentu tetapi perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Keputusan diambil kerajaan itu pastinya berdasarkan garis panduan antarabangsa Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan nasihat KKM serta Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang mana pematuhan terhadap SOP perlu dititikberatkan oleh semua majikan dan pekerja serta orang ramai.

Pengarah Pejabat Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Madya Dr Mohd Rafee Baharudin berkata, kelonggaran beroperasi yang diberikan kerajaan kepada syarikat dalam tempoh PKPB bukan lesen untuk memulakan operasi seperti sedia-kala.

"Majikan mestilah mempunyai mekanisme bagi memantau setiap pekerja mereka supaya sentiasa mematuhi SOP KKM.

"Satu pemeriksaan ke atas pematuhan itu mestilah dibuktikan oleh majikan kepada pihak berkuasa yang dilantik.

"Perkara ini sangat penting memandangkan tahap pengetahuan dan kesedaran dalam kalangan pekerja adalah berbeza-beza.

"Perbezaan kefahaman dan amalan menjaga kebersihan ini perlu diberi keutamaan yang sewajarnya oleh majikan," katanya.

Mohd Rafee berkata, setiap pekerja juga hendaklah menjalani latihan kesedaran dan membuat akujanji akan mematuhi setiap langkah pencegahan penularan Covid-19.

"Sikap buat tidak tahu atau mengambil jalan mudah akan memungkinkan bakal wujud satu kluster baharu di tempat kerja," katanya.

Beliau turut menasihatkan pekerja mengamalkan aspek pengurusan kendiri seperti mengisytihar status kesihatan harian dengan jujur dan sekiranya mempunyai gejala demam, batuk, sakit tekak dan kesukaran bernafas, segera maklumkan kepada majikan untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Bagi Timbalan Pengarah Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) Prof Dr Jamal Othman, PKPB adalah satu pendekatan menyeimbangkan keperluan untuk aktiviti ekonomi berfungsi demi kelangsungan mata pencarian dan keperluan untuk membendung penularan Covid-19.

"Kita menganggap pandemik ini akan terus bersama kita untuk satu tempoh yang agak lama. Namun ekonomi perlu dibenarkan berfungsi secara terkawal demi kemaslahatan dan kesejahteraan masyarakat.

"Jika PKP diteruskan, misalnya untuk dua minggu lagi tanpa stimulus ekonomi, negara boleh mengalami kerugian sebesar dua peratus daripada nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK)," katanya.

Beliau, yang juga Ketua Kluster Ekonomi dan Kesejahteraan Sosial Akademi Profesor Malaysia berkata, sudah tiba masanya kerajaan melaksanakan PKPB selepas mengambil kira petunjuk kesihatan dan keperluan membuka ekonomi demi kelangsungan mata pencarian rakyat.

Bagaimanapun, katanya, sangat penting difahami PKPB tidak bermakna rakyat sudah keluar daripada PKP, bahkan mereka perlu memberikan kerjasama untuk mematuhi syarat agar penularan pandemik Covid-19 dapat terus dibendung.

Dalam pada itu, beliau juga senada dengan Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz yang menyatakan keputusan membenarkan sebahagian aktiviti ekonomi disambung kembali mulai 4 Mei lalu bukan satu tindakan tergesa-gesa memandangkan kerajaan sudah mengkaji dan memastikan negara memenuhi syarat yang ditetapkan WHO.

"Ya, saya beranggapan kerajaan mengambil kira saranan WHO seperti kadar kebolehjangkitan pandemik Covid-19 yang rendah, bilangan kes aktif semakin berkurangan, kadar sembuh tinggi serta kesediaan negara dari segi kemudahan perawatan.

"Daripada pengamatan saya prestasi Malaysia dalam mengawal penularan Covid-19 selama ini setanding dengan Korea Selatan dan ini sesuatu yang harus kita banggakan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Mei 2020 @ 11:24 AM