Suraya Roslan dan Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Majlis keramaian seperti kenduri, perkahwinan, sambutan ulang tahun, tahlil dan majlis sosial lain tidak dibenarkan diadakan sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya yang bermula malam ini.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia termasuk majlis rasmi dan tidak rasmi agensi kerajaan dan swasta malah mesyuarat juga digalakkan diadakan secara sidang video.

"Selain itu, seminar, bengkel, kursus, latihan, persidangan, ceramah dan aktiviti berkaitan dengan Meeting, Incentives, Conventions and Exhibitions (MICE) tidak dibenarkan.

"Latihan dalam perkhidmatan yang sedang berjalan boleh dilaksanakan hanya dalam kawasan latihan sahaja," katanya dalam sidang media harian, hari ini.

Katanya, selain itu, Institut Pengajian Tinggi Awam dan Swasta, Institut Latihan Kemahiran, sekolah, tadika, taska, pusat tahfiz dan pusat jagaan kanak-kanak diwajibkan ditutup dalam tempoh ini.

"Bagaimanapun bagi pelajar sekolah, IPTA, IPTS yang mengambil peperiksaan dengan institusi pengajian luar negara, mereka dibenarkan untuk hadir menduduki peperiksaan sahaja dan bukan untuk sesi pembelajaran.

"Manakala, semua aktiviti pelancongan ke luar kawasan PKPB dan ke dalam kawasan PKPB tidak dibenarkan," katanya.

GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Oktober 2020 @ 5:45 PM