Maiamalina Mohamed Amin dan Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) kekal sebagai agensi keselamatan yang melaksana sekatan jalan raya (SJR) dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) meskipun Angkatan Tentera Malaysia (ATM) diberi kuasa tambahan menerusi ordinan darurat.

Untuk itu, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, semua SJR yang akan dikuatkuasakan di sempadan negeri dan daerah mulai tengah malam ini dikendalikan oleh PDRM.

Katanya, anggota ATM akan membantu PDRM ketika penugasan itu seperti yang sudah dilaksana sebelum ini.

"Kita bersetuju bahawa untuk SJR, tentera akan membantu, maknanya pihak ATM tidak akan membuat SJR sendiri walaupun dalam ordinan darurat ini mereka boleh buat, tapi kita masih seperti dulu.

"Untuk Ops Benteng, ada sesetengah tempat polis yang menjaga sempadan, maka dengan persetujuan kita, tentera akan berada di barisan hadapan, polis pula membantu," katanya pada sidang media mengenai PKP di sini, hari ini.

GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP

Ismail Sabri juga mengulas mengenai prosedur operasi standard (SOP) sepanjang PKP bermula esok sehingga 26 Januari yang mana, laluan keluar masuk di kawasan PKP ditutup dan semua penduduk di kawasan tidak dibenarkan keluar dari kediaman masing-masing.

Katanya, pergerakan keluar negeri dan daerah hanya dibenarkan bagi kes kecemasan dan perlu mendapat kelulusan PDRM.


"Aktiviti dalam kawasan PKP dibenarkan beroperasi antara 6 pagi hingga 8 malam bagi restoran, kedai atau gerai makan, kenderaan bersaji (food truck), penjaja tepi jalan, penjaja beredar, medan selera/pusat penjaja, gerai makan tepi jalan atau kiosk, kedai runcit dan kedai serbaneka, selain farmasi.

"Aktiviti pembekalan atau penjualan makanan hanya dibenarkan secara bawa pulang, pandu lalu atau penghantaran sahaja bermula jam 6 pagi sehingga 8 malam, manakala hospital dan klinik boleh beroperasi sehingga 24 jam," katanya.

Menurutnya, stesen minyak boleh beroperasi bermula 6 pagi hingga 10 malam kecuali stesen minyak di lebuh raya yang boleh beroperasi 24 jam, sementara dobi layan diri tidak dibenarkan.

"Pasar harian dan pasar tani boleh beroperasi dari 7 pagi hingga 2 petang, pasar borong beroperasi dari 12.01 tengah malam hingga 6 pagi dan 11 pagi hingga 4 petang.

"Pusat asuhan kanak-kanak, Taska, tabika dan tadika dibenarkan beroperasi dengan kebenaran oleh Kementerian/Agensi berkaitan, malah ibu bapa atau penjaga yang menghantar anak-anak ke pusat jagaan kanak-kanak, dibenarkan menggunakan kenderaan dengan jumlah penumpang kanak-kanak mengikut kapasiti kenderaan," katanya.

Menurutnya, kebenaran terhadap tadika dan pusat asuhan untuk beroperasi kerana mengambil kira ibu bapa yang perlu bekerja, manakala SOP bagi kawasan PKP Bersyarat dan Pemulihan banyak tertakluk kepada SOP terdahulu.


  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 January 2021 @ 7:59 PM