APLIKASI CHaSe. FOTO Ihsan UNISZA
APLIKASI CHaSe. FOTO Ihsan UNISZA
Ahmad Rabiul Zulkifli


BAGI membantu organisasi dan universiti mengesan serta mengurus risiko jangkitan wabak Covid-19, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) membangunkan sebuah sistem yang dikenali sebagai CHaSe (Aplikasi Penilaian Risiko Covid-19 dan Pengawasan Kesihatan Kendiri).

Naib Canselor UniSZA, Profesor Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan berkata, penularan wabak Covid-19 yang mendadak menjadi kebimbangan rakyat untuk menjalani rutin harian seperti biasa.

"Justeru UniSZA melalui gabungan kepakaran daripada Fakulti Perubatan (FP) dan Fakulti Informatik dan Komputeran (FIK) UniSZA membangunkan sistem CHaSe itu.

"CHaSe dibangunkan menerusi gabungan teknologi Artificial Intelligence dan Data Analitik dan melalui proses validasi oleh pakar perubatan.

"Sistem itu mampu dan bertindak untuk mengesan dan mengurus risiko jangkitan Covid-19 dan ia menggunakan teknologi Revolusi Perindustrian 4.0 (IR4.0)," katanya dalam kenyataan di Kuala Nerus, Terengganu, hari ini.

Hassan Basri berkata, setiap organisasi yang menggunakan CHaSe mampu menyaring kehadiran pekerja, penuntut atau pelanggan yang berisiko tinggi atau pembawa Covid-19 dengan menggunakan laporan yang disediakan dalam sistem berkenaan.

"Aplikasi ini menampilkan ciri-ciri menarik dan mesra pengguna selain ia model penentuan tahap risiko Covid-19 yang dihasikan menggunakan soroton literatur yang komprehensif dan data yang sebenar.

"Sistem itu sekarang digunakan oleh kakitangan dan penuntut UniSZA," katanya.

Menurutnya, UniSZA turut berkerjasama dengan Kementerian Sains dan Teknologi (MOSTI) dan Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) dalam membangunkan CHaSe dan dikawal selia secara terus oleh Pejabat Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi (TNCPI) UniSZA.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Mei 2020 @ 6:26 PM