ANTARA fakulti di UMS. FOTO GOOGLE MAPS
ANTARA fakulti di UMS. FOTO GOOGLE MAPS
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Universiti Malaysia Sabah (UMS) membangunkan sistem aplikasi dikenali sebagai UMS Shields bagi memantau dan mengesan tahap kesihatan pelajar yang kembali ke kampus universiti itu, bermula 15 Oktober lalu.

Naib Canselornya, Prof Datuk Dr Taufiq Yap Yun Hin berkata, sistem itu adalah antara langkah untuk memastikan pelajar yang kembali ke kampus berada dalam keadaan selamat terutama dalam situasi pandemik Covid-19.

Beliau berkata, sistem aplikasi yang dibangunkan kumpulan penyelidik dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) dan Pusat Pengurusan Data dan Maklumat (PPDM) UMS itu digunakan di kampus induk UMS Kota Kinabalu, Kampus UMS Cawangan Sandakan dan Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL).

"Sistem aplikasi berasaskan web ini mampu membantu mengenal pasti risiko seseorang berdasarkan gejala dan sejarah pendedahan yang hanya membenarkan individu memasuki dan bekerja di UMS sekiranya berisiko rendah.

"Selain itu, sistem ini juga digunakan bagi pemantauan gejala harian dan pemantauan kendiri oleh semua pelajar yang kembali dan menetap di asrama kampus," katanya dalam satu kenyataan mengenai usaha UMS mengekang penularan pandemik Covid-19 berikutan kemasukan semula pelajar berkeperluan ke kampus.

Taufiq berkata, sistem itu juga dipantau oleh Pusat Kesiapsagaan dan Tindakan Covid-19 (PKTC) UMS bagi pengesanan awal gejala dan pengasingan pelajar untuk mencegah penularan wabak yang cepat dalam persekitaran asrama.

Katanya, sistem aplikasi itu turut dilengkapi satu modul dikenali sebagai UMS Passport yang berfungsi mengesan lokasi seseorang sepanjang berada dalam kampus.

Beliau berkata, sistem itu juga boleh beroperasi bersama aplikasi Smart Hadir yang dibangunkan untuk membantu pendaftaran kehadiran pelajar di kelas menggunakan imbasan kod QR.

"Dengan pengesanan lokasi individu, modul UMS Passport ini boleh membantu pihak PKTC UMS dalam melakukan pengesanan kontak sekiranya ada kes positif Covid-19 dalam kalangan pelajar dan staf," katanya.

Seramai 5,268 pelajar termasuk 13 pelajar dari luar negara disenaraikan sebagai pelajar berkeperluan untuk kembali ke kampus, membabitkan seramai 4,847 pelajar di kampus Kota Kinabalu, 219 pelajar di UMSKAL dan 202 pelajar di kampus Cawangan Sandakan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Oktober 2021 @ 10:31 AM