MUHAMMAD Naufal
MUHAMMAD Naufal
Suraya Roslan

Kuala Lumpur: Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah (PKMD) Klang, Selangor, memohon kerjasama orang ramai untuk mengesan waris dua bayi, sekali gus melancarkan proses penempatan semula mereka.

Penolong Pegawai PKMD Klang, Noor Adelin Nordin berkata, mahkamah akan membuat keputusan berhubung penempatan semula kedua-dua bayi berkenaan berdasarkan peruntukan Seksyen 15 (3) Akta Kanak-Kanak 2001.

Menurutnya, kes pertama membabitkan bayi lelaki yang diberi nama Muhammad Naufal Qarizh yang dijumpai orang awam di bawah pokok di tepi padang permainan berhampiran Dewan Komuniti Taman Sri Andalas Fasa 2, Klang, jam 1 petang, 21 Mei lalu.

“Ketika dijumpai bayi ini dalam keadaan menangis berlapikkan sehelai kain pelikat, masih bertali pusat, uri dan badan dipenuhi kesan darah.

“Bayi ini kemudiannya dirujuk kepada pihak polis dan dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang untuk menjalani pemeriksaan.

“Pada 7 Jun lalu, bayi ini diperintahkan oleh Mahkamah Bagi Kanak- kanak Klang untuk diletakkan di bawah jagaan sementara sepasang suami isteri yang sedang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di bawah Permohonan Anak Pelihara,” katanya.

Katanya, kes kedua membabitkan bayi lelaki warga Filipina diberi nama Adam Irham berusia lingkungan 12 bulan dilahirkan seorang wanita Filipina, Rowena Agnir Lopez Bitalez, 38, di Ria Apartment, Genting Highland Pahang pada 20 Julai tahun lalu.

Kepada sesiapa yang mengenali waris kedua-dua bayi berkenaan diminta menghubungi pegawai pelindung PKMD Klang di talian 03-33413703 atau 03-33413821.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Jun 2018 @ 3:54 AM