BAZAR antara 22 aktiviti dilarang oleh Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) kerana ia berisiko tinggi kepada penularan wabak Covid-19. FOTO Arkib NSTP
BAZAR antara 22 aktiviti dilarang oleh Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) kerana ia berisiko tinggi kepada penularan wabak Covid-19. FOTO Arkib NSTP
Nur Izzati Mohamad

MAJLIS Bandaraya Seberang Perai (MBSP) melarang 22 aktiviti dan perniagaan dilakukan di tiga daerah pentadbirannya walaupun Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan bermula hari ini.

Ia termasuk aktiviti hiburan dan riadah, perayaan, perarakan, perhimpunan, persidangan, pameran, pendidikan, sukan, aktiviti sosial, pengangkutan, bazar, karnival dan kedai gunting rambut.

Datuk Bandar MBSP, Datuk Rozali Mohamud berkata, semua aktiviti itu dilarang apabila mengambil kira risiko prosedur operasi standard (SOP) yang dirangka selepas kerajaan negeri mengumumkan Strategi Pemulihan Berperingkat Pulau Pinang yang terbahagi kepada tiga fasa.

"Kita sudah selesai pada fasa persiapan semalam, dan hari ini adalah fasa pembiasaan yang menyaksikan banyak sektor ekonomi dibuka semula dengan SOP yang ditetapkan.

"Bagaimanapun, MBSP masih melarang beberapa aktiviti dan perniagaan lain dibuka kerana ia berisiko tinggi kepada penularan wabak Covid-19," katanya pada sidang media secara langsung di laman sosial Facebook MBSP, hari ini.

Penduduk Seberang Perai boleh mendapatkan kesemua panduan berhubung pembukaan sektor eknomi dan senarai aktiviti yang dilarang melalui laman sosial rasmi pihak berkuasa tempatan (PBT) itu untuk semakan lanjut.

Dalam pada itu, Rozali berkata, MBSP sedang merangka normal baharu apabila akan menyediakan perkhidmatan kaunter siber bagi mengelak pergerakan manusia terlalu ramai di dalam premis PBT berkenaan.

Katanya, sebanyak 134 perkhidmatan kaunter siber akan dibuka berbanding 11 kaunter ketika ini untuk kakitangan dan penduduk Seberang Perai menyesuaikan diri dengan kehidupan normal baharu.

"Dengan pembukaan kaunter siber ini, kakitangan yang bekerja di pejabat akan diminimakan di samping mengurangkan pergerakan rakyat yang mengunjungi premis ini untuk berurusan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Mei 2020 @ 5:58 PM