ABDUL Rahim. FOTO BERNAMA
ABDUL Rahim. FOTO BERNAMA
Yun Mikail

SEBANYAK RM13.8 bilion diperuntukkan Kerajaan Persekutuan melalui Pakej Stimulus Prihatin sebagai subsidi upah kepada majikan di negara ini untuk mengekalkan perniagaan dan pekerjaan.

Pakej berbentuk subsidi upah berkenaan mengurangkan beban majikan seterusnya membolehkan majikan mengekalkan pekerjaan akibat darurat kesihatan berpunca daripada Covid-19 serta pelaksanaan Perintah kawalan Pergerakan (PKP).

Timbalan Menteri Kewangan Satu Datuk Abdul Rahim Bakri berkata, pelaksanaan program subsidi upah terbabit dibuat melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

"Menerusi maklumat Laksana Kementerian Kewangan, kerajaan sudah membuat bayaran kepada 997,000 pekerja yang bekerja dengan 117,000 majikan.

"Subsidi upah buat majikan ini berjumlah RM1.2 bilion. Ia dibuat pada bulan pertama PKP membabitkan majikan yang terjejas.

"Selain itu, PERKESO juga menerima 256,000 permohonan majikan yang membabitkan dua juta pekerja setakat 4 Mei.

"Bagaimanapun, selepas semakan ke atas majikan, kami meluluskan permohonan 235,000 majikan membabitkan perbelanjaan RM1.7 bilion manakala sebahagiannya belum diluluskan berikutan dokumen kurang lengkap dan tidak memenuhi syarat ditetapkan," katanya.

Beliau berkata demikian pada kenyataan media di Kota Kinabalu, hari ini.

Abdul Rahim berkata, subsidi upah diberi mengikut kategori majikan dengan bayaran RM600 untuk majikan yang memiliki pekerja lebih 200 orang.

Bayaran RM800 bagi majikan yang mempunyai 75 hingga 200 pekerja manakala majikan yang memiliki 75 pekerja ke bawah diberi subsidi RM1,200 setiap pekerja.

Beliau menyatakan, pekerja yang mendapat perlindungan berkenaan adalah pekerja yang berpendapatan RM4,000 ke bawah.

"Setiap majikan yang berkehendakkan subsidi upah ini boleh mendaftar dengan PERKESO sehingga 15 September ini," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Mei 2020 @ 5:12 PM