TENGKU Zafrul Tengku Abdul Aziz
TENGKU Zafrul Tengku Abdul Aziz
KERAJAAN menyokong kelangsungan perniagaan dan melindungi pekerjaan rakyat. FOTO Effendy Rashid
KERAJAAN menyokong kelangsungan perniagaan dan melindungi pekerjaan rakyat. FOTO Effendy Rashid

KERAJAAN bersetuju menambah peruntukan RM120 juta untuk Program Pengekalan Pekerja (ERP) yang dikendalikan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menjadikan jumlah keseluruhannya sebanyak RM240 juta.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata,melalui program itu, kerajaan melalui Perkeso memberi sokongan RM600 sebulan selama enam bulan kepada pekerja bercuti tanpa gaji.

Katanya, sebelum ini pada 16 Mac lalu, ERP diluluskan Majlis Tindakan Ekonomi dengan peruntukan RM120 juta.

"Sehingga hujung April, lebih 52,000 pekerja diterima dan diluluskan. Selaras dengan hasrat kerajaan menyokong kelangsungan perniagaan dan melindungi pekerjaan rakyat, khususnya dalam kita memasuki fasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ini, kerajaan bersetuju menambah peruntukan ERP sebanyak RM120 juta," katanya menerusi perkongsian laporan keempat pencapaian pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) yang disiarkan secara langsung di akaun Facebook rasminya, semalam.

Dalam pada itu, katanya, sehingga 3 Mei lalu, pinjaman di bawah Dana Pinjaman Mudah PKS yang diluluskan oleh bank dan disetujuterima PKS berjumlah RM3 bilion membabitkan 6,840 perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

"Majoriti jumlah ini daripada Kemudahan Bantuan Khas (SRF) di mana PKS boleh memohon pembiayaan RM1 juta dengan kadar faedah 3.5 peratus, di mana 80 peratus daripada jumlah pembiayaan dijamin.

"Alhamdulillah, sambutan untuk kemudahan ini amat menggalakkan dan saya berharap ia digunakan dengan penuh manfaat," katanya.

Tengku Zafrul berkata, bagi Skim Pinjaman Mikro Kredit sehingga 29 April lalu, RM132 juta daripada RM700 juta kredit mikro ditawarkan pada kadar faedah kosong peratus oleh Bank Simpanan Nasional (BSN) dan Tekun Nasional diluluskan.

Daripada jumlah itu, BSN meluluskan RM90 juta kepada 2,000 PKS Mikro dan Tekun meluluskan RM42 juta kepada 5,000 PKS Mikro.

"Bagi program Subsidi Upah, sehingga 3 Mei lalu, RM1.9 bilion subsidi upah diluluskan yang memanfaatkan 235,000 majikan membabitkan 1.7 juta pekerja.

"Ini peningkatan daripada 195,000 majikan membabitkan 1.5 juta pekerja dalam laporan minggu lalu.

"Manakala Program Bantuan Majikan Covid-19 (e-CAP KWSP) sehingga 1 Mei lalu, 10,500 permohonan diterima KWSP untuk mendapatkan bantuan berkenaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Mei 2020 @ 6:00 AM