ANGGOTA APM sedang menangkap ular sawa. FOTO Ihsan APM
ANGGOTA APM sedang menangkap ular sawa. FOTO Ihsan APM
Zuliaty Zulkiffli


ULAR sawa batik sepanjang dua meter yang berada dalam reban di Kampung Kubang Palas, Padang Sanai, berjaya ditangkap anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Padang Terap, awal pagi ini.

Kehadiran ular itu dikesan pemilik rumah yang terdengar bunyi bising di reban ayam berkenaan ketika dia sedang bersahur bersama keluarganya sekitar 4.50 pagi.

Berikutan itu, dia kemudian menghubungi anggota APM Padang Terap untuk meminta bantuan menangkap ular berkenaan.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Padang Terap, Leftenan (PA) Mohd Shukri Shuib berkata, pihaknya menerima panggilan 5 pagi dan bergegas ke lokasi.

Beliau berkata, pemanggil ketika itu memaklumkan ular sawa berkenaan sedang membelit ayam peliharaannya di reban berkenaan.

"Ular sawa itu berada di alang kayu reban itu dan mahu memakan ayam dalam reban itu. Perubahan cuaca dan lapar mungkin menyebabkan ular sawa itu keluar mencari sumber makanan di kawasan ini.

"Anggota kami yang diketuai Lans Koperal (PA) Mohd Zuki Mahamud bersama anggota wanita berjaya menangkap ular seberat lima kilogram (kg) kira-kira 15 minit kemudian," katanya.

Menurutnya, ular sawa itu kemudian dibawa ke pejabat APM Padang Terap untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Mei 2020 @ 10:36 AM