Zuliaty Zulkiffli


Padang Terap: Seekor ular sawa ditemui kekenyangan selepas berjaya menelan dua ekor itik sebelum ditangkap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) hari ini.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Padang Terap, Leftenan (PA) Mohd Shukri Shuib berkata, pihaknya menerima panggilan jam 7.49 pagi oleh seorang pemanggil di kuarters Jabatan Hutan, Pokok Sena.

Beliau berkata, empat anggotanya bergegas ke lokasi dan tiba pada jam 8.09 pagi untuk menangkap reptilia berkenaan.

"Sebaik tiba di lokasi, anggota mendapati ular sawa itu dalam keadaan kekenyangan selepas menelan dua ekor itik dalam reban berkenaan.

"Anggota kami mengambil masa kira-kira 10 minit untuk menangkap ular sawa berkenaan yang bertindak agresif walaupun sudah 'kenyang'," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

ANGGOTA APM Padang Terap berjaya menangkap ular sawa di kuarters Jabatan Hutan Pokok Sena. FOTO IHSAN APM
ANGGOTA APM Padang Terap berjaya menangkap ular sawa di kuarters Jabatan Hutan Pokok Sena. FOTO IHSAN APM

Mohd Shukri berkata, ular seberat hampir 60 kilogram (kg) dan panjangnya hampir lima meter itu dibawa pulang ke pejabat APM Padang Terap untuk tindakan lanjut.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan penduduk di daerah ini supaya berhati-hati dengan kehadiran ular di kediaman mereka berikutan perubahan cuaca tidak menentu ini.

"Orang ramai jangan memukul atau menangkap ular sesuka hati terutama spesis bahaya kerana ia boleh mengancam keselamatan mereka.

"Sebaiknya hubungan pasukan penyelamat untuk membantu menangkap ular kerana kami dilatih selain mempunyai peralatan untuk menangkap reptilia berkenaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Oktober 2020 @ 11:23 AM