ARIFAI Tarawe menunjukan komponen motosikal curi yang dileraikan oleh suspek. FOTO REDZUAN MUHARAM
ARIFAI Tarawe menunjukan komponen motosikal curi yang dileraikan oleh suspek. FOTO REDZUAN MUHARAM
Redzuan Muharam


LIMA suspek terbabit dalam kegiatan curi motosikal yang dikenali sebagai Geng Syafiq tumpas selepas ditahan sepasukan polis, awal pagi kelmarin.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata kesemua suspek yang ditahan berumur lingkungan 20 hingga 27 tahun dan dipercayai mempunyai hubungan sebagai rakan.

Menurut Arifai, tangkapan itu membawa kepada rampasan lima motosikal, tujuh rangka motosikal dan satu guni berisi komponennya.

Katanya,tangkapan pertama dilakukan kira-kira 2 pagi kelmarin selepas anggota dari Balai Polis Selayang menahan sebuah motosikal dinaiki seorang suspek yang dalam keadaan mencurigakan.

"Berlaku kejar mengejar tetapi akhirnya suspek berjaya ditahan dan pemeriksan dilakukan mendapati telefon bimbit miliknya mengandungi maklumat jual beli komponen motosikal.

"Siasatan lanjut membawa kepada tangkapan kedua di sebuah rumah berdekatan Kampung Laksamana Batu Caves tetapi tiada rampasan namun siasatan terhadap suspek membawa kepada tangkapan ketiga.

"Tangkapan ketiga dilakukan di Kampung Nakhoda Batu Caves dan suspek ditangkap bersama beberapa komponen motosikal dileraikan di dalam rumah dan siasatan mendapati motosikap tersebut hilang pada hari sama," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak, hari ini.

Menurut Arifai, penahanan itu membantu kepada tangkapan suspek keempat di pangsapuri Desa Satu, Kepong.

"Di ruang tamu rumah berkenaan, polis menjumpai bersama motosikal model Yamaha 135LC dalam keadaan tidak sempurna dan sudah dileraikan, jadi rampasan dibuat pada masa itu.

"Siasatan terhadap keempat-empat suspek membawa kepada tangkapan suspek kelima pada 6 pagi hari yang sama di sebuah pangsapuri di Kampung Laksamana, Batu Caves. Hasil siasatan menemui beberapa barang kes .

Arifai berkata, pihaknya percaya mereka dapat menyelesaikan sembilan kes curi motosikal di bawah IPD Gombak dengan tertangkapnya kelima-lima suspek berkenaan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 379A atas kesalahan jenayah mencuri kenderaan. Selain itu ,kesemua suspek turut direman selama empat hari bermula 30 April lalu.

"Siasatan selama tiga bulan dijalankan bagi menumpaskan suspek terbabit," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Mei 2020 @ 5:50 PM