PENGUSAHA restoran, Hanis Bahari, 46, mengukur jarak susunan meja bagi membuat persiapan membuka kembali perniagaannya di Taman Desa Bukit Permata, Kapar. FOTO Muhd Asyraf Sawal
PENGUSAHA restoran, Hanis Bahari, 46, mengukur jarak susunan meja bagi membuat persiapan membuka kembali perniagaannya di Taman Desa Bukit Permata, Kapar. FOTO Muhd Asyraf Sawal
Ekhwan Haque Fazlul Haque


LEBIH 146,000 peniaga dan penjaja khususnya sektor makanan perlu mengadaptasi segera norma baharu dalam urusan perniagaan selepas kebenaran semula beroperasi diberikan kerajaan.

Setiausaha Agung Gabungan Persatuan-Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia (GPPKMM), Mohamed Zamri Mohammed berkata, ini penting bagi memastikan perniagaan yang terhenti lebih sebulan lalu dapat diteruskan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Menurutnya, peniaga perlu mengambil peluang ini untuk meningkatkan aspek kebersihan makanan dan premis.

"Pengumuman Perdana Menteri yang membenarkan sebahagian besar operasi perniagaan diteruskan adalah khabar gembira buat peniaga.

"Sudah hampir dua bulan peniaga 'bercuti' kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan ini masa terbaik melonjakkan semula ekonomi domestik yang terjejas teruk kerana Covid-19," katanya kepada Harian Metro.

Beliau berkata, lebih 146,000 peniaga dan penjaja kecil di seluruh negara terkesan dengan penutupan sementara operasi dan ada antara mereka yang terpaksa gulung tikar ekoran ketiadaan modal pusingan.

Katanya, walaupun perlu mematuhi SOP ketat, namun ia tidak menjadi masalah kerana itu adalah norma baharu yang perlu dilalui pasca Covid-19.

"Tiada masalah untuk peniaga adaptasi norma baharu dengan SOP lebih ketat kerana ia perlu dilihat dari sudut positif khususnya kesihatan masyarakat.

"Jika ekonomi bergerak tetapi kesihatan diabaikan ia sudah pasti memberi impak negatif seperti yang perlu kita lalui akibat penularan pandemik maut ini," katanya.

Menurutnya, demi meneruskan kelangsungan hidup, peniaga digesa mematuhi SOP ditetapkan dan sebarang pelanggaran prosedur menyebabkan kebenaran itu mungkin ditarik balik.

Katanya, jangan disebabkan kerakusan mendapatkan jualan yang 'hilang' lebih sebulan lalu menyebabkan peniaga memandang ringan aspek kebersihan dan kesihatan pekerja serta pelanggan.

Ditanya mengenai pemantauan SOP, Mohamed Zamri berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) boleh memainkan peranan signifikan dalam menguatkuasakan prosedur ditetapkan kerajaan itu.

"PBT perlu pantau untuk pastikan peniaga patuh SOP dan tidak memandang ringan aspek kebersihan dan kesihatan kerana kita tidak mahu sektor ekonomi domestik kembali terjejas.

"Cukuplah hampir dua bulan peniaga terpaksa mengikat perut kerana putus pendapatan dan diharap semua mengekalkan rasa tanggungjawab supaya Malaysia bukan saja pulih dari Covid-19 malah ekonomi dapat dilonjakkan semula," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Mei 2020 @ 6:16 PM