Peniaga menyusun tudung di premis perniagaan mereka di Jalan Tuanku Abdul Rahman setelah dibenarkan menjalankan operasi perniagaan. Mulai hari ini kerajaan telah membenarkan sektor perniagaan peruncitan memulakan operasi perniagaan bagi memastikan kelangsungan ekonomi. FOTO ASYRAF HAMZAH
Peniaga menyusun tudung di premis perniagaan mereka di Jalan Tuanku Abdul Rahman setelah dibenarkan menjalankan operasi perniagaan. Mulai hari ini kerajaan telah membenarkan sektor perniagaan peruncitan memulakan operasi perniagaan bagi memastikan kelangsungan ekonomi. FOTO ASYRAF HAMZAH
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Kebenaran lebih banyak sektor ekonomi beroperasi mampu memberi nafas lega kepada peniaga kecil.

Setiausaha Agung Gabungan Persatuan-Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia (GPPPKMM) Mohamed Zamri Mohammed berkata, kerajaan prihatin dengan keluh kesah peniaga yang bergantung kepada pendapatan harian perniagaan.

Menurutnya, persatuan mendapat maklum balas baik daripada peniaga yang sudah menanti lama untuk beroperasi sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 dilaksanakan.

"Syukur kerana hampir semua permohonan GPPPKMM untuk ahli supaya dapat meneruskan perniagaan melalui Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapat kelulusan walaupun secara berperingkat.

"Kami berharap agar penjaja dan peniaga kecil berniaga dengan berhemat serta mematuhi setiap prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan dipatuhi sepenuhnya dalam mengatasi rantaian Covid-19," katanya ketika dihubungi.

Katanya, dalam masa terdekat ini diharap lebih banyak sektor ekonomi dibuka dalam masa terdekat.

Beliau berkata, ekonomi domestik juga perlu bergerak kerana kini semakin tenat dan mungkin memberi impak lebih besar jika terus ditutup.

"Ekonomi tidak boleh ditutup lebih lama dan pembukaan semula ini dapat merancakkan semula ekonomi," katanya.

Semalam, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan bersetuju membuka lebih banyak sektor ekonomi selepas mengambil kira penilaian risiko dibuat KKM.

Namun, pengoperasian semula sektor ekonomi ini perlu dijalankan dengan SOP ketat.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Februari 2021 @ 5:18 PM