SHUL Jing mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Lahad Datu. FOTO ihsan polis
SHUL Jing mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Lahad Datu. FOTO ihsan polis
Hazsyah Abdul Rahman


SEORANG gadis mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Lahad Datu, hari ini, kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan merempuh sekatan jalan raya (SJR).

Koh Shul Jing, 18, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Ryan Sagirann Rayner Jr.

Ryan kemudiannya menjatuhkan hukuman denda RM1,000 dan penjara dua bulan jika gagal membayar denda bagi kesalahan melanggar PKP.

Bagi kesalahan merempuh SJR, tertuduh dikenakan hukuman penjara enam hari dari tarikh tangkapan dan denda RM1,000.

Jika gagal membayar denda, tertuduh boleh dipenjara enam bulan.

Shul Jing kemudiannya membayar denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan pertama, dia berada di SJR lampu isyarat Muhibbah, Lahad Datu pada 12.40 tengah malam, 25 April lalu.

Perbuatannya melanggar Peraturan 3(2) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh merempuh SJR di lokasi sama dan melakukan kesalahan mengikut Seksyen 26(2) Akta Polis 1960.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Risal Abd Fikkah manakala Shul Jing diwakili peguam, Kamarudin Chengki.

Pada 25 April lalu, tertuduh merempuh SJR sehingga menyebabkan kecederaan kepada anggota Pasukan Gerakan Am (PGA).

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 April 2020 @ 5:36 PM