KHIM Weng (dua dari kanan) dan Kim Chuah (dua dari kiri), diiring kakitangan Jabatan Penjara Malaysia pada perbicaraan rayuan di Mahkamah Tinggi Tawau hari ini. FOTO Abdul Rahemang Taiming.
KHIM Weng (dua dari kanan) dan Kim Chuah (dua dari kiri), diiring kakitangan Jabatan Penjara Malaysia pada perbicaraan rayuan di Mahkamah Tinggi Tawau hari ini. FOTO Abdul Rahemang Taiming.
Abdul Rahemang Taiming


SELEPAS menjalani hukuman penjara lapan hari akibat melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dua beradik menarik nafas lega dibebaskan daripada hukuman hari ini.

Hakim Mahkamah Tinggi Tawau, Dr Alwi Abdul Wahab mengenepikan sabitan dan hukuman penjara dua bulan yang dijatuhkan oleh Mahkamah Majistret Lahad Datu terhadap Ng Khim Weng, 50, dan Ng Kim Chuah, 47, pada 31 Mac lalu, selepas menerima rayuan mereka.

Dr Alwi dalam penghakimannya berkata, selepas membaca notis dan rekod rayuan yang difailkan selain hujahan daripada pihak perayu dan responden, mahkamah memerintahkan kedua-duanya dijatuhkan hukuman penjara lapan hari dari tarikh sabitan iaitu pada 31 Mac 2020.

Mahkamah bagaimanapun mengekalkan hukuman denda masing-masing sebanyak RM1,000 mereka yang juga pemilik sebuah syarikat perkakasan logam di Lahad Datu.

Terdahulu, Majistret Ryan Sagirann Rayner Jr menjatuhi hukuman itu terhadap Khim Weng dan Kim Chuah selepas mengaku salah membuka premis yang tidak perlu ketika tempoh PKP.

Mengikut kertas pertuduhan, dua lelaki itu secara bersama pada 28 Mac 2020, jam 11 pagi bertempat di Rintisan Hijau Sendirian Berhad, Jalan Dam, Lahad Datu, didapati dengan sengaja membuka premis perkhidmatan yang tidak perlu.

Perkara itu seperti dinyatakan dalam Jadual Peraturan 2 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020, dalam satu kawasan berjangkit tanpa kebenaran bertulis daripada Ketua Pengarah.

Ia memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM1,000 atau dipenjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya.

Khim Weng dan Kim Chuah masing-masing diwakili peguam Liew Hon Min, manakala pendakwaan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohammed Ali Imran.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 April 2020 @ 4:54 PM