SITI Rohani ketika berniaga ulam di pasar Kuala Nerang sebelum berniaga secara dalam talian ketika PKP. FOTO ihsan pembaca
SITI Rohani ketika berniaga ulam di pasar Kuala Nerang sebelum berniaga secara dalam talian ketika PKP. FOTO ihsan pembaca
Noorazura Abdul Rahman


SEORANG peniaga tidak menyangka ulam-ulaman jualannya mendapat permintaan selepas memanfaatkan aplikasi perniagaan dalam talian.

Siti Rohani Mohd Isa, 38, berkata dia mencuba aplikasi eDESA@Bazar hasil inisiatif badan bukan kerajaan (NGO) Rangkaian Anak-Anak Padang Terap (RAPAT).

"Pada mulanya saya agak ragu-ragu kerana belum pernah orang menjual ulam-ulaman kampung dalam talian, nampaknya sangkaan saya meleset apabila hari pertama sudah ada empat pelanggan membuat tempahan menerusi aplikasi ini.

"Ramai yang mencari ulam-ulaman kerana ia semakin sukar diperolehi akibat pembangunan, malah disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), orang ramai lebih selesa beli dalam talian," katanya yang tinggal di Kampung Tanjung, Padang Terap.

Antara ulam-ulaman yang dijual Siti Rohani ialah pucuk daun letup, pucuk putat, daun asin-asin, peria pantai, cekur, daun gajus, petai, bunga kantan, rebung hutan, daun selom, daun kesom, daun kadok, belimbing buluh dan daun maman.

Ibu kepada empat anak itu berkata, dia sudah menjual ulam-ulaman sejak tujuh tahun lalu di pasar pekan Kuala Nerang.

Katanya, penjualan dalam talian memberi dimensi baru kepada masyarakat luar bandar untuk menambah pendapatan terutama semasa PKP.

"Sebelum ini, pendapatan bersih saya menerusi jualan langsung kira-kira RM50 sehari, tapi selepas jual secara dalam talian ia meningkat sedikit. Ini satu permulaan yang baik untuk saya dan suami.

"Apa yang penting medium ini juga akan menggalakkan masyarakat makan makanan yang lebih selamat tanpa bahan kimia kerana ulam-ulaman ini ditanam di tepi rumah atau tumbuh liar tanpa perlu dijaga seperti sayur-sayuran lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 April 2020 @ 11:53 AM