NOR Azman Hassan (kanan) bersembang bersama Effandi selepas menyampaikan sumbangan.
NOR Azman Hassan (kanan) bersembang bersama Effandi selepas menyampaikan sumbangan.
Amir Mamat


KERAJAAN negeri menerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) berjanji akan membantu keluarga daif di Kampung Banda Kaba, Bandar Hilir, Melaka, mencari rumah sewa baharu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan berkata, beliau sudah menghubungi Timbalan Pengerusi MAIM, Datuk Md Rawi Mahmud bagi menyatakan permintaan untuk membantu keluarga terbabit.

"Isu kediaman keluarga daif itu akan diberi perhatian serius oleh MAIM dan diharap ia akan dapat direalisasikan terutama menjelang Aidilfitri nanti," katanya selepas mengunjungi keluarga itu, hari ini.

Beliau turut menyampaikan sumbangan barangan keperluan harian seperti beras dan gula kepada ketua keluarga berkenaan, Effandi Abdul Rahim.

Effandi dan keluarganya yang kesempitan hidup terpaksa menerima hakikat tinggal dalam sebuah rumah hampir menyembah bumi.

Rumah papan disewa daripada seorang ahli perniagaan sejak 11 tahun lalu itu, menjadi tempat berteduh empat sekeluarga itu selain dua penyewa lain iaitu ibu tunggal dan mualaf.

Tiada siapa yang menyangka, ketika kawasan sekitar pusat pelancongan di tengah-tengah bandaraya Melaka itu sedang rancak dimajukan, terdapat beberapa kediaman usang yang didiami keluarga daif yang hanya mengharapkan belas ihsan pihak lain.

Effandi yang bekerja sebagai tukang kebun di sebuah sekolah rendah di bandar Melaka, berkata lebih 11 tahun dia mendiami rumah berkenaan bersama isteri dan dua orang anaknya berusia 14 dan 17 tahun.

Berita berkaitan

'Rumah usang tempat berteduh'

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 April 2020 @ 10:39 PM