Dr Noor Hisham Abdullah (kiri) bercakap pada sesi sidang media.
Dr Noor Hisham Abdullah (kiri) bercakap pada sesi sidang media.
Amir Abd Hamid dan Suraya Roslan


PENINGKATAN kes yang pulih daripada Covid-19 menjadikan jumlah kes aktif semakin menurun sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa tiga.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pelaksanaan PKP fasa tiga akan memasuki fasa empat esok dan jumlah kes harian menunjukkan tren penurunan dan kadangkala mendatar.

"Ini sekali gus berjaya meratakan lengkung dan negara kini memasuki fasa pemulihan.

"Contohnya jumlah kes aktif pada hari ini adalah 1,719 kes berbanding kes aktif tertinggi 2,596 kes pada 5 April lalu," katanya dalam sidang media harian di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Putrajaya, hari ini.

Menurutnya, pencapaian itu adalah hasil daripada tindakan proaktif dan agresif kerajaan dalam aktiviti pembendungan penularan Covid-19 sepanjang tempoh sebelum dan ketika PKP.

"Ini dapat memastikan fasiliti KKM dapat menampung bilangan pesakit Covid-19 di Malaysia termasuk kapasiti Unit Rawatan Rapi (ICU) dan kapasiti penggunaan mesin bantuan pernafasan di hospital.

INFOGRAFIK. IHSAN KKM
INFOGRAFIK. IHSAN KKM

"PKP membantu mengurangkan interaksi antara masyarakat dan mengurangkan kebolehjangkitan Covid-19.

"KKM dengan pelbagai agensi menggunakan pendekatan tertumpu bagi kumpulan yang berisiko tinggi bagi aktiviti pengesanan kes secara aktif," katanya.

Menurutnya, tindakan itu termasuk pengesanan, penyaringan, ujian, isolasi dan rawatan bagi individu dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan.

"Ini juga termasuk pengesanan peserta perhimpunan di Seri Petaling dan perhimpunan besar-besaran yang lain, pengesanan sekolah serta madrasah tahfiz," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 April 2020 @ 5:22 PM