Gambar hiasan
Gambar hiasan
Bisnes HM


Kuala Lumpur: Pembayaran Fasa 1 Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) kepada 8.45 juta penerima diberikan secara berperingkat mulai 24 Februari (esok).

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, untuk kategori isi rumah yang meliputi 4.4 juta penerima, bayaran sebanyak RM300 akan diberikan.

"Untuk individu bujang, bayaran RM150 akan diberikan (4.05 juta penerima) dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM1.93 bilion," katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagi isi rumah dan individu bujang, bayaran akan dikreditkan terus ke akaun bank penerima pada esok, manakala yang tidak memiliki akaun bank, tuntutan boleh dibuat di cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) mulai 25 Februari.

Bagi penerima di Sabah dan Sarawak tanpa akaun bank pula, tuntutan boleh dibuat di lokasi yang akan diumumkan kelak, sekali dengan pembayaran Bantuan Prihatin Nasional (BPN) 2.0.

Menteri Kewangan berkata, pembayaran Fasa 1 BPR dibuat kepada penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) 2020 dan BPN B40 yang telah diluluskan sebelum ini.

"Pembayaran Fasa 1 ini telah dipercepatkan dari bulan Mei ke penghujung Februari 2021 bagi membantu kelangsungan hidup rakyat terutamanya golongan mudah terjejas dan pekerja yang bergantung kepada upah harian.

"Kerajaan sentiasa komited untuk memastikan bantuan yang diperuntukkan sampai kepada mereka yang disasarkan

bagi menjamin kesejahteraan rakyat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Februari 2021 @ 8:58 PM