ISKANDAR Halim. FOTO Hazreen Mohamad
ISKANDAR Halim. FOTO Hazreen Mohamad
Yusmizal Dolah Aling


TERDAPAT aduan palsu, tidak berasas serta maklumat tidak lengkap diterima Pusat Arahan Penguatkuasaan (ECC) Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ia sekali gus menyukarkan pegawai menjalankan siasatan ke atas aduan diterima untuk memastikan setiap isu yang timbul dapat diatasi dengan baik.

Pengarah Penguatkuasa KPDNHEP Datuk Iskandar Halim Sulaiman berkata, setakat ini pihaknya menerima lebih 900 aduan meliputi pelbagai masalah sejak 18 Mac lalu.

Katanya, pada peringkat awal, aduan paling banyak diterima ialah membabitkan isu harga dan bekalan serta penipuan dalam talian.

"Sebagai contoh, aduan mengenai harga barangan mahal, tiada tanda harga dan tiada bekalan topeng muka.

"Semua aduan yang diterima ini disiasat dan tindakan akan diambil kepada peniaga yang melakukan kesalahan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, setakat ini terdapat juga aduan yang tidak berasas diterima ECC seperti maklumat tidak lengkap diberi oleh pengadu terhadap perkara yang diadu.

"Ia termasuk alamat salah, nama peniaga atau perniagaan tidak wujud dan deskripsi aduan terlalu umum.

"Pihak kementerian tetap akan menyiasat aduan itu jika maklumat pengadu adalah betul dan didaftarkan ke dalam sistem e-aduan.

"Setiap aduan diterima akan didaftarkan ke dalam sistem e-aduan kementerian. Ia akan diagihkan kepada Pegawai Penyiasat.

"Pegawai Penyiasat akan menyiasat aduan berkenaan dan jika didapati ada salah laku oleh yang diadu, tindakan akan diambil. Hasil siasatan juga dimaklumkan kepada pengadu," katanya.

Menurutnya, orang ramai juga tidak perlu khuatir kerana bekalan barang keperluan adalah mencukupi dan mampu menampung keperluan dalam negara secara berterusan dan mudah diperoleh.

Selain itu, katanya, pengguna juga dinasihatkan mengamalkan ciri-ciri pengguna bestari, melaksanakan pembelian terancang dan jangan membuat pembelian panik.

Orang ramai diminta melaporkan kepada kementerian melalui salah satu saluran aduan iaitu talian hotline KPDNHEP 1-800-886-800, talian ECC 03-88826088 atau 03-88826245 dan portal Sistem e-Aduan KPDNHEP, e-aduan.kpdnhep.gov.my.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 April 2020 @ 12:59 PM