ALEXANDER (kiri) diiringi Lau Tuang Nguang (kanan) melawat kilang pembekal telur Teo Seng Capital Berhad dekat Yeong Peng hari ini. FOTO BERNAMA
ALEXANDER (kiri) diiringi Lau Tuang Nguang (kanan) melawat kilang pembekal telur Teo Seng Capital Berhad dekat Yeong Peng hari ini. FOTO BERNAMA
Essa Abu Yamin


KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menerima sebanyak 10,212 aduan dan pertanyaan berkaitan bekalan serta harga barang ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu.

Menterinya, Datuk Alexander Nanta Linggi berkata, jumlah aduan yang diterima itu tidak mencapai tahap yang membimbangkan dan masih dapat dikawal oleh kementeriannya.

Katanya, aduan diterima melalui empat saluran utama yang disediakan iaitu WhatsApp sebanyak 5,325, e-aduan (2,012), talian hotline KPDNEP (2,122) dan Enforcement Command Centre (ECC) sebanyak 753 aduan.

“Antara aduan dan pertanyaan ketika PKP ini adalah berkaitan dengan penutup muka dan hidung, cecar pembasmi kuman (hand sanitizer), beras, sayur, telur, bawang, makanan, produk makanan dan barangan asas

“Melalui aduan dan pertanyaan terbabit sebanyak 1,569 aduan berkaitan bekalan serta harga barangan dan sebanyak 443 masih lagi dalam siasatan, manakala selebihnya sudah selesai,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Terdahulu Alexander melakukan lawatan ke kilang pengeluar telur ayam Teo Seng Capital Berhad di Yong Peng.

Turut hadir Pengarah Eksekutif Kumpulan Leong Hup International Berhad, Tan Sri Lau Tuang Nguang dan Pengarah Urusan Teo Seng Capital Berhad, Nam Hiok Joo.

Menurut Alexander, susulan aduan yang diterima pihaknya akan mengambil tindakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kementerian dan mempertingkatkan pemantauan serta pemeriksaan ke atas bekalan dan harga barangan di seluruh negara.

“Pihak kementerian memberi jaminan bekalan mencukupi sepanjang pelaksanaan PKP termasuk telur ayam.

“Berdasarkan permintaan yang meningkat ketika ini, pihak KPDNHEP akan memastikan tidak ada kenaikan harga tidak munasabah barangan keperluan harian.

“Jika ada kenaikan harga ia tidak banyak, sebagai contoh harga telur akan meningkat hanya sekitar dua atau tiga sen sahaja sebiji tetapi tidak akan melebihi harga siling,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 April 2020 @ 4:34 PM