Lelaki yang ditahan dipercayai melanggar Perintah Kawalan Pergerakan bagi tujuan jual beli dadah. FOTO Ihsan PDRM
Lelaki yang ditahan dipercayai melanggar Perintah Kawalan Pergerakan bagi tujuan jual beli dadah. FOTO Ihsan PDRM
Nor Farhani Che Ad


DUA lelaki yang didapati melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ditahan bersama beberapa paket plastik mengandungi dadah di dua lokasi sekitar Sungai Petani, awal pagi hari ini.

Lelaki berusia 27 dan 29 tahun itu masing-masing ditahan di lampu isyarat SP Saujana pada 2.30 pagi dan Taman Bandar Baharu, Sungai Lalang sekitar 2 pagi.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, tangkapan dilakukan ketika sepasukan anggota polis membuat rondaan Op Covid-19 di kawasan Ambangan Heights.

"Salah seorang suspek mengaku meninggalkan kediaman dengan alasan untuk menjual dadah.

"Anggota menemui satu beg kecil berwarna hitam mengandungi tujuh peket plastik lutsinar serbuk disyaki dadah jenis syabu di genggaman tangan kanannya," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Adzli berkata, seorang lagi suspek mengaku meninggalkan kediaman dengan alasan mencari bekalan dadah.

Menurutnya, pemeriksaan ke atas suspek terbabit menemui tiga peket plastik lutsinar berisi serbuk disyaki dadah jenis syabu.

Katanya, siasatan ke atas kedua-dua suspek dibuat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 270 Kanun Keseksaan.

"Mereka juga disiasat di bawah Peraturan 11 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 April 2020 @ 4:10 PM