Omar Ahmad


JIKA Ramadan tahun sebelum ini, songkok menjadi lubuk rezeki kepada peniaga kerana ia menjadi aksesori utama yang pastinya akan dicari bagi melengkapkan busana di pagi Syawal.

Namun Ramadan tahun ini agak suram bagi peniaga Sinar Songkok Melayu, Mohd Fahirurazi Yahya, 39 kerana terdapat lambakan lebih separuh daripada jumlah songkok yang sepatutnya dijual dalam tempoh setahun.

Katanya, dia masih bersyukur dengan rezeki yang ditetapkan dan menganggap normal baru kehidupan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) adalah cabaran bagi peniaga sepertinya.

"Kalau ikutkan setahun, kami boleh menjual kira-kira 25,000 songkok. Dan penjualan lebih banyak pada bulan Ramadan kerana setiap tahun kami adik beradik akan menyewa tujuh tapak Bazar di Johor Bahru, Kota Tinggi dan Kluang.

"Kebiasaannya setiap tahun akan ada peniaga dari Singapura yang datang mengambil stok songkok untuk pasaran di republik itu.

"Tetapi mereka juga tidak dapat berbuat demikian kerana Singapura turut melaksanakan pemutus rantaian sama seperti PKP di sini," katanya ketika ditemui di kediaman rumah kedai di Kampung Melayu, Johor Bahru.

MOHD Fahirurazi (kanan) menjahit songkok  manakala isterinya, Norafida Abd Rahman menulis tempahan songkok untuk dipos. FOTO Omar Ahmad.
MOHD Fahirurazi (kanan) menjahit songkok manakala isterinya, Norafida Abd Rahman menulis tempahan songkok untuk dipos. FOTO Omar Ahmad.

Mohd Fahirurazi berkata, atas kekangan itu, dia menjual mula secara dalam talian termasuk Facebook dan Shopee, namun sambutan diterima kurang memberangsangkan.

"Sejujurnya sejak semalam, hanya tujuh biji songkok dihantar kepada pembeli, tetapi saya tidak mahu menjadikan PKP ini alasan untuk tidak menjual songkok.

"Ini adalah perusahaan warisan jahitan songkok dari arwah ayah, saya akan terus berusaha menjual menerusi dalam talian sepanjang PKP ini," katanya.

Katanya, dia kini berdepan lambakan stok, dan berharap jualan akan bertambah sama ada melalui pos atau penghantaran ke rumah sekitar bandar raya Johor Bahru.

SEBAHAGIAN songkok yang disimpan dalam stor rumah kedainya. FOTO Omar Ahmad.
SEBAHAGIAN songkok yang disimpan dalam stor rumah kedainya. FOTO Omar Ahmad.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 April 2020 @ 10:45 AM