PSRA dan PPTQ yang dikelolakan JAIS dibatalkan.
PSRA dan PPTQ yang dikelolakan JAIS dibatalkan.
Norzamira Che Noh


KERAJAAN negeri mengambil keputusan untuk membatalkan Penilaian Sijil Rendah Agama (PSRA) dan Pentaksiran Hafazan Al-Quran (PPTQ) yang dikelolakan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Bagaimanapun, PSRA dan PPTQ akan diganti dengan kaedah pentaksiran lain yang akan ditentukan.

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari menerusi kenyataan hari ini memaklumkan, peperiksaan Sijil KAFA Menengah (SKM) juga akan dibatalkan susulan Covid-19 yang masih menular.

“Bagi Sijil Menengah Agama (SMA), Sijil Menengah Agama Tahfiz Quran (SMATQ) dan Sijil Menengah Agama Tarbiyah Diniah (SMATD), kerajaan negeri memutuskan agar ia ditunda ke suku pertama 2021.

“Semua peperiksaan awam JAIS ini akan dilaksanakan semula sepenuhnya apabila keadaan kembali pulih dan selamat,” katanya.

Sementara itu, Amirudin memaklumkan, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) hari ini meluluskan pembayaran insentif RM200 secara sekali bayar kepada kira-kira 5,000 anggota penguat kuasa dan agensi penting negeri termasuk kakitangan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Insentif ini adalah penghargaan kepada petugas barisan hadapan dalam menghadapi Covid-19.

“Sebanyak RM1 juta diperuntukkan untuk pemberian insentif ini,” katanya.

Menurut beliau, kerajaan negeri sentiasa prihatin dengan nasib rakyat terutamanya bagi mereka yang memerlukan dan terkesan sepanjang Perintah Kawalan dan Pergerakan (PKP).

“Kerajaan negeri akan sentiasa mendalami, memahami dan membuat keputusan terbaik bagi menangani kesan ekonomi dan sosial Covid-19 dari semasa ke semasa,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 April 2020 @ 6:34 PM