HISHAMMUDDIN TUN HUSSEIN
HISHAMMUDDIN TUN HUSSEIN
Suraya Roslan


PELANTIKAN Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah dilihat tepat dan dapat membantu Wisma Putra dalam hubungan diplomatik Malaysia dengan rakan negara di sana supaya lebih utuh serta berkekalan.

Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, ia adalah pertemuan pertama mereka selepas Presiden PAS itu dilantik pada 2 April lalu.

Menurutnya, mereka turut membincangkan tanggungjawab bersama untuk memperkasa peranan Malaysia di Timur Tengah khususnya dalam menghadapi cabaran situasi geopolitik yang tidak menentu termasuk yang terkini ialah penularan wabak Covid-19.

“Saya yakin dengan berbekalkan pengalaman dan pengaruh yang beliau miliki, pelantikan Tuan Guru Haji Hadi Awang hadir tepat pada masanya serta berupaya membantu saya dan warga Wisma Putra menjayakan pelbagai lagi agenda Wisma Putra khususnya berkaitan Timur Tengah.

“Marilah kita sama-sama doakan, semoga urusan Tuan Guru Haji Hadi Awang selaku Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah dipermudahkan dan diberkati Allah SWT. InsyaAllah,” katanya

Sementara itu Hishammuddin berkata tumpuan mereka kini ialah memudahcara urusan kepulangan rakyat Malaysia yang masih terkandas diluar negara disebabkan sekatan perjalanan dan penutupan ruang udara oleh kerajaan negara yang mereka diami.

“Selain itu, Wisma Putra juga perlu menjayakan hasrat kerajaan untuk mengenalpasti negara yang mempunyai penyelidikan saintifik dan pembangunan vaksin terbaik bagi memastikan Malaysia menjadi negara terawal memperolehi vaksin Covid-19,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 April 2020 @ 6:29 PM