Suraya Roslan


Kuala Lumpur: "Kita tidak tahu sama ada benar dia (Jho Low) ada di China, jika PDRM (Polis Diraja Malaysia) memaklumkan kepada Wisma Putra kedudukan sebenar dan di mana dia berada, tidak ada sebab Wisma Putra tak boleh membantu."

Demikian jawapan Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Hussein berhubung pembabitan Wisma Putra dalam membantu PDRM membawa pulang individu dikehendaki negara, Low Teak Jho atau Jho Low.

Hishammuddin berkata, Wisma Putra sedia membantu membawa pulang ahli perniagaan itu jika PDRM mengetahui lokasi sebenar Jho Low.

"Wisma Putra sedia membantu untuk membawa dia pulang menghadap pengadilan," katanya ketika menggulung Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2021 di Dewan Rakyat, hari ini.

Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein ketika sidang Dewan Rakyat di bangunan Parlimen. FOTO ASYRAF HAMZAH
Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein ketika sidang Dewan Rakyat di bangunan Parlimen. FOTO ASYRAF HAMZAH

Hishammudin menjawab celahan RSN Rayer (PH-Jelutong) sama ada Wisma Putra boleh membantu mengesan dan membawa pulang ahli perniagaan dalam buruan itu bagi membantu siasatan kes berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berikutan hubungan baik Malaysia dengan China.

Sebelum ini, Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador menegaskan, beliau boleh mengaturkan pertemuan Jho Low dengan Jabatan Peguam Negara selain memberi jaminan keselamatan ke atas ahli perniagaan dalam buruan itu.

Abdul Hamid memaklumkan, bukan saja pihak berkuasa Malaysia yang 'memburu' Jho Low tetapi juga Amerika Syarikat dan Singapura.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 November 2020 @ 2:10 PM