DATUK Seri Abdul Hadi Awang.  FOTO Arkib NSTP
DATUK Seri Abdul Hadi Awang. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

PAS menafikan dakwaan kononnya tindakan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin melantik Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah adalah usaha bagi memujuk dan memenangi hati ahli-ahli PAS.

Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan turut menegaskan bahawa parti itu, khususnya Abdul Hadi, tidak pernah meminta jawatan mahupun kedudukan dalam kerajaan.

“Sebaliknya, kami bersedia berkhidmat di mana jua demi menguatkan serta menjamin kestabilan kerajaan pimpinan Perdana Menteri,” menurutnya dalam kenyataan, hari ini.

Pejabat Perdana Menteri, dalam kenyataan sebelum ini memaklumkan bahawa Muhyiddin bersetuju melantik Ahli Parlimen Marang itu sebagai Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah dengan bertaraf menteri.

Takiyuddin, yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri, menyifatkan pelantikan Abdul Hadi membolehkan beliau turut membantu kerajaan Perikatan Nasional (PN) dalam mengharmonikan lagi hubungan diplomatik dan antarabangsa, khususnya dengan negara-negara di rantau itu.

Menurut Takiyuddin, Abdul Hadi juga akan menjalin kerjasama erat dengan Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Wisma Putra.

Selain itu, beliau berkata, PAS akan menubuhkan satu Jawatankuasa Penasihat berbentuk ‘Hisbah’ bagi memantau tugas dan menasihati anggota kerajaan daripada kalangan ahlinya agar mereka dapat menjalankan tugas serta tanggungjawab dengan jujur dan terbaik.

“Memandangkan Presiden PAS turut berada dalam kerajaan, mungkin jawatankuasa itu akan dilantik daripada kalangan pimpinan Majlis Syura Ulama PAS.

“Sebelum ini, PAS mempunyai Jawatankuasa Penasihat Kerajaan Kelantan dan Terengganu yang dipengerusikan sendiri oleh Presiden PAS,” katanya.

b>Berita berkaitan

Hadi Duta Khas PM ke Timur Tengah

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 April 2020 @ 10:22 AM