ANGGOTA bomba melakukan operasi pemadaman Hutan Simpan Kuala Langat Selatan yang terbakar. FOTO Ihsan Bomba.
ANGGOTA bomba melakukan operasi pemadaman Hutan Simpan Kuala Langat Selatan yang terbakar. FOTO Ihsan Bomba.
Ruwaida Md Zain


SEBANYAK 15 Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) di Selangor dikerah menjalankan kerja memadam kebakaran Hutan Simpan Kuala Langat Selatan yang terbakar sejak beberapa hari ini lalu.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Penolong Pesuruhjaya Bomba, Wan Md Razali Wan Ismail berkata, sebaik menerima laporan kebakaran hutan itu, pihaknya sudah mengerahkan anggota ke lokasi untuk memadamkan kebakaran.

“Kami memang sentiasa ‘standby’ di pos kawalan bomba di lokasi berhampiran.

“Ia membabitkan hampir 15 balai terutama di Zon Lima seperti Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) KLIA, BBP Sepang, BBP Teluk Panglima Garang dan BBP Banting serta satu unit kejuruteraan JBPM Negeri Selangor.

“Selain balai, kita juga menggunakan khidmat bomba dari Pangkalan Udara Subang bersama Helikopter Agusta AW189 yang menjalankan operasi ‘water bombing’,” katanya hari ini.

Bagaimanapun Wan Md Razali berkata, bermula semalam pihaknya membuat pelarasan dengan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) bagi mengelakkan pertembungan operasi pemadaman.

“Pada Sabtu lalu, kita guna helikopter kita untuk ‘water bombing’ membabitkan dua penerbangan (sortie), satu di sebelah pagi membabitkan lapan ‘water bombing’ dan empat lagi pada sebelah petang.

“Bermula semalam, pesawat Bombardier CL 415 milik APMM digunakan untuk operasi itu, kita akan bekerjasama memadamkan kebakaran ini sehingga keadaan pulih sepenuhnya.

“Ini bermakna, pihak bomba fokus kepada pemadaman kebakaran di atas tanah, manakala dan APMM bantu memadam kebakaran dari udara,” katanya.

Beliau berkata, antara strategi pemadaman yang digunakan adalah ‘portable pump GP10/10’ dan ‘wajax pump’, yang dilakukan dengan sokongan sumber air terbuka dan telaga tiub serta penggunaan jengkaut.

Media sebelum ini melaporkan kira-kira 35 hektar daripada kawasan Hutan Simpan Kuala Langat Selatan, Banting terbakar sejak beberapa hari lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Mac 2020 @ 3:30 PM