EMPAT lelaki termasuk seorang OKU yang ditahan polis kerana berjudi. FOTO ihsan polis
EMPAT lelaki termasuk seorang OKU yang ditahan polis kerana berjudi. FOTO ihsan polis
Zuhainy Zulkiffli


EMPAT lelaki termasuk orang kurang upaya (OKU) kudung kaki kanan ditahan ketika leka berjudi dalam sebuah bangsal di Jalan Tan Sri Teh Ewe Lim, Jelutong, Georgetown, awal pagi hari ini.

Semua suspek berusia 30 hingga 50 tahun berkenaan tidak sempat melarikan diri sebaik bangsal dalam semak berhampiran bengkel kereta itu diserbu pihak polis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Datuk Zainol Samah berkata, serbuan berkenaan dilakukan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang pada 12.30 tengah malam.

Katanya, kedudukan bangsal yang tersorok dan diawasi puluhan anjing menyukarkan serbuan, namun pihak polis berjaya menutup beberapa laluan tikus untuk mereka melarikan diri.

“Serbuan ini adalah hasil risikan yang dilakukan sejak minggu lalu dan didapati lokasi berkenaan menjadi tumpuan kaki judi walaupun ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Perbuatan mereka yang ingkar PKP dengan berjudi beramai-ramai seolah-olah mencabar undang-undang dan tidak takut dengan penularan Covid-19,” katanya kepada media, hari ini.

Antara barangan yang dirampas dalam serbuan itu ialah daun terup, sejumlah wang tunai dan peralatan perjudian.

Mengulas lanjut, Zainol berkata, risikan juga mendapati aktiviti perjudian di lokasi berkenaan membabitkan pertaruhan wang tunai mencecah sehingga puluhan ribu ringgit dalam satu masa.

Katanya, pemeriksaan di dalam bangsal berkenaan juga menemukan pelbagai makanan dan minuman ringan yang disediakan penganjur kepada kaki judi.

“Siasatan dibuat Seksyen 269 Kanun Keseksaan, Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Peraturan 25(1)(n) Peraturan Pendaftaran Negara 1990.

“Selain itu, mereka juga disiasat mengikut Peraturan 11(1) Perintah Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020 kerana ingkar PKP,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 April 2020 @ 6:22 PM