Peserta Muhammad Izham Iqram Abdullah, dari Sekolah Kebangsaan Kedawang mendeklamasikan sajak. FOTO HAMZAH OSMAN
Peserta Muhammad Izham Iqram Abdullah, dari Sekolah Kebangsaan Kedawang mendeklamasikan sajak. FOTO HAMZAH OSMAN
Hamzah Osman


PEJABAT Pendidikan Daerah Langkawi (PPDL) menganjurkan Pertandingan Deklamasi Sajak Sekolah-Sekolah (Dalam Talian) Peringkat Daerah selama tiga hari mulai hari ini.

Pertandingan julung kali membabitkan 15 murid sekolah rendah dan lapan pelajar sekolah menengah sekitar Langkawi itu menggunakan aplikasi persidangan video, Zoom.

Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Langkawi (Pembangunan Murid), Lee Kim Kak berkata, kaedah itu selari saranan Kementerian Pendidikan Malaysia yang mahu guru dan pelajar menggunakan teknologi maya.

“Peserta tampil mendeklamasikan sajak di hadapan peranti sama ada telefon pintar atau komputer riba dari rumah masing-masing menerusi aplikasi Zoom.

“Malah, setiap peserta dan tiga panel juri turut berinteraksi secara dalam talian menggunakan aplikasi sama,” katanya.

 Guru, Fazliana Mohd Salleh selaku juri sedang menilai peserta mendeklamasikan sajak.
Guru, Fazliana Mohd Salleh selaku juri sedang menilai peserta mendeklamasikan sajak.

Katanya, pertandingan dalam talian bertujuan mencungkil bakat pelajar dan ia pertama kali dianjurkan PPDL bagi mengisi masa luang pelajar dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Antara sajak yang menjadi pilihan peserta termasuk Suara Dari Pusara oleh Usman Awang, Alam Telah Betul (Rahman Shaari), Ingatan Adalah Musuh Yang Setia (Latif Mohidin) dan Hari Terakhir Sebuah Hutan (Muhammad Haji Salleh).

“Keputusan pemenang akan dimuat naik di portal PPDL, selain disebarkan menerusi kumpulan WhatsApp pengetua dan guru besar sekitar Langkawi, Rabu ini,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 April 2020 @ 5:33 PM