SIDANG media Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan (tengah) secara langsung di akaun Facebook. FOTO Facebook Makmur Johor
SIDANG media Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan (tengah) secara langsung di akaun Facebook. FOTO Facebook Makmur Johor
Mohamed Farid Noh

SEBUAH pusat penempatan sementara gelandangan diaktifkan di Kem Wawasan Bina Negara, Gunung Pulai di Kulai, Johor Bahru.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan berkata, ia bagi menempatkan golongan berkenaan susulan penularan wabak Covid-19 di negeri ini.

“Kemudahan sementara itu dikelolakan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya dalam sidang media secara langsung di akaun Facebook rasmi Kerajaan Johor, hari ini.

Semalam, NSTP melaporkan terdapat kira-kira 1,500 gelandangan di kawasan bandar raya ini sekali gus menimbulkan ancaman terhadap penularan wabak Covid-19 dalam kalangan mereka.

Tinjauan mendapati mereka terus menjadikan jejantas pejalan kaki dan kaki lima sebagai tempat tidur ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) memasuki hari ke-18.

Mengulas lanjut mengenai PKP, Vidyananthan berkata, pematuhan di seluruh Johor meningkat kepada 97.19 peratus semalam berbanding 96.69 peratus, kelmarin.

“Peningkatan kadar peratusan PKP adalah suatu perkara yang baik dan perlu dikekalkan bagj memastikan kita berjaya memutuskan rantaian penularan wabak Covid-19,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, PKP yang dilanjutkan sehingga 14 April menyebabkan sebanyak 1,187 buah sekolah rendah dan menengah di seluruh Johor terpaksa ditutup yang membabitkan 580,000 murid serta 59,000 guru dan kakitangan sokongan.

Katanya, penutupan ini juga membabitkan 71 sekolah swasta dan 1,473 tadika swasta yang membabitkan 90,000 orang murid dan guru serta staf.

“Untuk itu, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Johor mengambil inisiatif pembelajaran alternatif untuk memastikan murid dapat belajar dan tidak berlaku defisit pembelajaran semasa tempoh PKP.

“Antara inisiatif yang dilaksanakan oleh JPN adalah melaksanakan e-pembelajaran yang membabitkan pelbagai medium Google Classroom, WhatsApp, Telegram, Youtube dan Zoom.

“Pembelajaran secara offline termasuk penggunaan buku teks, nota guru, buku rujukan dan lembaran kerja dibekalkan guru juga dilakukan di samping pembelajaran menggunakan medium penyiaran iaitu radio JohorFM setiap harimulai jam 12.30 tengahari dengan kerjasama RTM Johor,” katanya.

Beliau berkata, pembelajaran melalui TV Pendidikan yang dikendalikan oleh Kementerian Pendidikan juga boleh diakses murid dan pelajar seluruh negeri.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 April 2020 @ 11:30 AM