Sri Ayu Kartika Amri

Petaling Jaya: Lembaga Zakat Selangor (LZS) menjangkakan peningkatan asnaf fakir dan miskin sehingga 80,000 keluarga tahun ini, kesan penularan pandemik Covid-19.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Saipolyazan Mat Yusop berkata, peningkatan golongan asnaf itu berikutan ramai yang tidak boleh berniaga dan ada antaranya dibuang kerja.

Katanya, LZS akan memperkenalkan beberapa program termasuk bantuan Alternatif Insan Terkesan khusus untuk membantu golongan itu.

"Di bawah bantuan Alternatif Insan Terkesan ini, LZS akan memberi bantuan sementara selama tiga hingga enam bulan supaya kita dapat mengurangkan kebergantungan mereka kepada bantuan.

"Ini salah satu cara kita memastikan bahawa mereka yang menjadi miskin sementara ini dapat kita bantu secepat mungkin supaya mereka boleh keluar daripada kepompong kemiskinan yang mereka hadapi akibat Covid-19.

"Kita jangka mereka yang akan menerima manfaat daripada program yang dilaksanakan LZS ini sekitar 5,000 hingga 6,000 keluarga," katanya kepada media selepas majlis penyerahan Sijil Pengiktirafan Pembayar Zakat Korporat, McDonald's Malaysia di sini, hari ini.

SAIPOLYAZAN (kiri) bersama Azhar pada majlis penyerahan Sijil Pengiktirafan Pembayar Zakat Korporat, McDonald’s Malaysia. FOTO Genesv Gulitah
SAIPOLYAZAN (kiri) bersama Azhar pada majlis penyerahan Sijil Pengiktirafan Pembayar Zakat Korporat, McDonald’s Malaysia. FOTO Genesv Gulitah

Hadir sama, Naib Presiden Sumber Manusia dan Pengerusi Jawatankuasa Halal Dalaman McDonald's Malaysia, Azhar Darbi.

Saipolyazan berkata, golongan terjejas itu akan dibantu dengan pemberian wang antara RM500 ke RM1,500 sebulan dan bantuan lain yang diperlukan mengikut keadaan keluarga berkenaan.

Menurutnya, mereka yang berada dalam kategori miskin sementara di Selangor turut dibantu melalui program Jom Kerja yang mana akan diberi bimbingan cara membuat resume dan menghadiri temu duga.

"Kami juga mengadakan kerjasama antara Perkeso dan syarikat tertentu di Selangor antaranya Top Glove, Mydin, MR DIY dan sebagainya dan ramai sudah mendapat pekerjaan semula.

"Mereka ini nanti akan kita membuat bancian ekonomi dan sekiranya mereka berjaya mencapai pendapatan tertentu, kita akan keluarkan mereka daripada senarai asnaf," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Oktober 2020 @ 4:14 PM