PASUKAN bomba dan polis mengeluarkan mayat yang tersepit di bawah kereta di hadapan rumah di Kampung Biah. FOTO Juwan Riduan
PASUKAN bomba dan polis mengeluarkan mayat yang tersepit di bawah kereta di hadapan rumah di Kampung Biah. FOTO Juwan Riduan
Juwan Riduan


SEORANG wanita ditemui maut tersepit di bawah kereta di hadapan rumahnya di Kampung Biah, Batu 4, Keningau, semalam.

Mayat wanita berusia 40-an itu dijumpai suaminya jam 7.10 malam, sebelum menghubungi pihak berkuasa.

Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Superintendan Shahrudin Mat Husain berkata, mangsa ditemui di bawah kereta Hyundai di hadapan rumahnya.

“Pihak Hospital Keningau mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia. Pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau bertindak mengeluarkan mangsa daripada bawah kereta berkenaan.

“Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Keningau untuk tindakan lanjut. Pasukan Forensik juga dipanggil untuk membantu siasatan di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, pihaknya akan menyiasat kejadian itu daripada pelbagai aspek termasuk dari aspek jenayah.

“Bagaimanapun, setakat ini tiada sebarang keterangan berkaitan dalam unsur-unsur jenayah.

“Siasatan masih dijalankan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 April 2020 @ 5:08 PM