Togi Marzuki


Pontian: Satu lagi mayat dipercayai warga asing mangsa bot karam dipukul ribut ditemukan di Pantai Rambah di sini, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Mohamad Shofee Tayib berkata, penemuan mangsa terbaru itu menjadikan jumlah keseluruhan mangsa meningkat kepada empat orang.

Katanya, siasatan awal mendapati tiga warga asing yang mati lemas akibat bot yang dinaiki karam di Pantai Rambah, petang semalam tiada sebarang unsur jenayah.

"Pemeriksaan fizikal ke atas ketiga-tiga mayat serta keadaan persekitaran mendapati bahawa tiada unsur-unsur yang boleh dikaitkan dengan kesalahan dan salah laku jenayah.

"Mayat mangsa terbabit dijumpai terdampar di tepi Pantai Rambah dipercayai akibat mati lemas," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Malam tadi, media melaporkan tiga warga asing lemas ditemui kira-kira jam 5.30 petang semalam di pesisiran Pantai Rambah.

Mereka dipercayai mangsa kejadian bot karam berkenaan dipercayai berlaku pada awal disebabkan ribut di kawasan pantai berkenaan.

Mayat dijumpai dengan keadaan terlentang dengan jarak 50 meter antara satu sama lain.

Pemeriksaan lanjut pada ketiga-tiga mangsa yang dilakukan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mendapati tiada sebarang pengenalan diri ditemui dan mereka dipercayai warga Indonesia yang mahu memasuki negara ini menerusi jalan yang tidak diwartakan.

Ketiga-tiga mayat kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Pontian untuk ujian saringan awal COVID-19 sebelum dibedah siasat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Oktober 2021 @ 1:39 PM