Mohd Hasbi Sidek


Petaling Jaya: Tiga lelaki termasuk dua remaja ditahan polis sejurus menyamun kedai 24 jam di Jalan Teknologi 3/1, Kota Damansara, Petaling jaya, hari ini.

Polis yang melakukan rondaan cegah jenayah menahan dua lelaki itu selepas menemui mereka dalam keadaan mencurigakan, kira-kira 2.15 pagi, 7 Januari.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din, berkata polis cuba melakukan pemeriksaan, namun kedua-duanya cuba melarikan diri sebelum berlaku pergelutan.

"Dua lelaki berusia 18 dan 40 tahun ini berjaya diberkas. Polis kemudiannya rampas 2 pisau, 3 telefon bimbit, RM360 tunai, 6 kotak rokok, 9 kad ‘Touch N Go’ dan 29 kad prabayar telefon.

"Mereka juga mengaku seorang lagi remaja berusia 14 tahun terbabit dalam tiga kes samun sebelum ini.

“Berdasarkan maklumat, polis menahan suspek ketiga di sebuah rumah di Seksyen 6, Kota Damansara, pada 3.15 pagi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 January 2017 @ 10:21 PM