Ayub Jamil (dua dari kanan) ketika melakukan tinjauan Operasi Sanitasi Awam di Pusat Latihan Teknologi Tinggiv (ADTEC) Batu Pahat. FOTO ESSA ABU YAMIN
Ayub Jamil (dua dari kanan) ketika melakukan tinjauan Operasi Sanitasi Awam di Pusat Latihan Teknologi Tinggiv (ADTEC) Batu Pahat. FOTO ESSA ABU YAMIN
Oleh Mohamed Farid Noh


KERAJAAN Johor mengarahkan kilang elektronik di Taman Perindustrian Dewani, Tebrau di sini, yang beroperasi tanpa mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ditutup sementara mulai semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Ayub Jamil berkata, arahan berikutan kilang terbabit gagal mematuhi SOP ditetapkan ketika PKP sekali gus dibimbangi menimbulkan ancaman penularan wabak Covid-19 dalam kalangan pekerja.

“Kilang itu sudah diarahkan tutup semalam. Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) juga akan menyemak semula status kelulusan kilang terbabit.

“Saya juga akan buat penyelarasan bersama MITI, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mengawal kawasan industri di seluruh Johor bagi mengelakkan insiden ingkar SOP beroperasi ketika PKP dapat dikawal sepenuhnya,” katanya.

Semalam NSTP melaporkan, penduduk di Tebrau di sini, terkejut apabila sebuah video yang memaparkan ratusan pekerja sebuah kilang di Taman Perindustrian Dewani berbaris panjang untuk memasuki premis berkenaan.

Dalam video yang tular itu, memaparkan barisan panjang pekerja yang ingin memasuki premis kilang dalam keadaan tanpa penjarakan sosial.

Ia sekali gus menimbulkan kemarahan pengguna media sosial dan penduduk mukim Tebrau yang bimbang dengan penularan wabak Covid-19 berikutan kilang terbabit dilihat tidak mematuhi SOP ditetapkan kerajaan bagi industri meneruskan operasi apatah lagi mukim berkenaan kelmarin diumumkan berada dalam zon jingga.

Mengulas lanjut, Ayub yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rengit berkata, kerajaan Johor serius memastikan industri perkilangan yang dibenarkan beroperasi mematuhi SOP beroperasi ketika PKP dipatuhi sepenuhnya.

“Kita tidak akan berkompromi lagi jika mana-mana kilang yang ingkar mematuhi SOP dibenarkan, mereka akan diarah untuk menutup operasi sehingga PKp berakhir,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 April 2020 @ 3:04 PM