Tinjauan dilakukan di kawasan premis kilang berkenaan pagi tadi mendapati keadaannya terkawal berbanding semalam dengan hanya segelintir pekerja dilihat memasuki premis berkenaan,  malah kereta peronda polis juga berada di hadapan kilang berkenaan. FOTO Mohd Azren Jamaludin
Tinjauan dilakukan di kawasan premis kilang berkenaan pagi tadi mendapati keadaannya terkawal berbanding semalam dengan hanya segelintir pekerja dilihat memasuki premis berkenaan, malah kereta peronda polis juga berada di hadapan kilang berkenaan. FOTO Mohd Azren Jamaludin
Mohamed Farid Noh


TULAR video ratusan pekerja sebuah kilang yang dipercayai di Taman Perindustrian Dewani di Johor Bahru, bersesak untuk memasuki premis berkenaan.

Dalam video yang tular sejak malam tadi dan berdurasi 13 saat itu, antara lain memaparkan barisan panjang pekerja yang ingin memasuki premis kilang alat elekronik berkenaan dalam keadaan amat rapat dan tanpa penjarakan sosial.

Ia sekali gus menimbulkan kemarahan pengguna media sosial dan penduduk mukim Tebrau yang bimbang dengan penularan wabak Covid-19 berikutan kilang terbabit dilihat tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan bagi industri meneruskan operasi.

Pengguna media sosial juga turut mempertikaikan bagaimana kilang terbabit memperoleh kebenaran beroperasi berikutan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dilaporkan baharu membuka permohonan untuk syarikat meneruskan operasi semalam.

Malah pengguna media sosial turut melahirkan kebimbangan bahawa insiden berkenaan mungkin bakal melahirkan kluster baharu wabak Covid-19 di mukim Tebrau, jika ada antara pekerja berkenaan tidak menyedari mereka menjadi pembawa virus berkenaan, apatah lagi mukim berkenaan semalam diumumkan berada dalam zon jingga.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Ayub Jamil, berkata beliau maklum dengan video yang ditularkan semalam itu.

“Perkara itu juga ada dibincangkan (dalam mesyuarat) Majlis Keselamatan Negara (MKN) malah perkara itu turut sudah dikemukakan kepada MITI bagi siasatan.

“Saya bimbang sangat hal ini. Namun pihak berkuasa termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) sudah pergi ke premis kilang berkenaan untuk siasatan dan pemantauan,” katanya.

Tinjauan dilakukan di kawasan premis kilang berkenaan pagi tadi mendapati keadaan terkawal berbanding semalam dengan hanya segelintir pekerja dilihat memasuki premis berkenaan, malah kereta peronda polis juga berada di hadapan kilang berkenaan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 April 2020 @ 1:52 PM