KUALA TERENGGANU 13 APRIL 2020. Guru Sekolah Menengah Kebangsaan Chendering bersama barangan keperluan makanan untuk diagihkan kepada keluarga pelajar yang terkesan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).FOTO IHSAN SMK CHENDERING
KUALA TERENGGANU 13 APRIL 2020. Guru Sekolah Menengah Kebangsaan Chendering bersama barangan keperluan makanan untuk diagihkan kepada keluarga pelajar yang terkesan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).FOTO IHSAN SMK CHENDERING
Malik Muhamad


PERANAN guru bukan hanya di sekolah semata-mata, malah mereka juga turut ‘turun padang’ membantu meringankan beban keluarga pelajar yang terkesan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan wabak Covid-19.

Begitu yang dilakukan warga guru dan kakitangan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chendering, Kuala Terengganu yang bekerjasama mengumpul dana untuk disumbangkan kepada keluarga pelajar yang memerlukan dalam bentuk barangan makanan asas.

Langkah dan nilai murni yang dilakukan guru sekolah berkenaan yang mengagihkan keperluan itu semalam wajar dicontohi bagi memastikan masyarakat yang terjejas sumber pendapatan dapat dibantu bagi mengurangkan beban mereka.

Pengetua SMK Chendering, Rohayah Ishak berkata, sumbangan itu diberikan kepada keluarga pelajar yang miskin bagi meringankan beban mereka lebih-lebih lagi tempoh PKP dilanjutkan sehingga 28 April.

“Hati kami tersentuh selepas mengetahui ada dalam kalangan keluarga pelajar sekolah kami yang tinggal berdekatan sekolah terkesan dalam tempoh PKP ini.

“Selepas berbincang kami mewujudkan Tabung Sumbangan Covid-19 dalam kalangan guru dan kakitangan sekolah. Hasil kutipan sebanyak RM4,000 itu, kami dapat salurkan sumbangan kepada 60 keluarga yang memerlukan dalam bentuk keperluan makanan termasuk beras.

“Bagi memudahkan urusan pengagihan kepada mereka yang terjejas, kami dibantu alumni, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM) cawangan Kuala Terengganu.

“InsyaAllah bantuan ini tidak terhenti di sini, jika masih ada lagi pelajar yang memerlukan sumbangan, pihak kami akan meneruskan misi ini bagi memastikan mereka dapat meneruskan kehidupan seperti biasa kerana ini juga tanggungjawab kita bersama,” ujarnya ketika dihubungi.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 April 2020 @ 10:18 AM