Zuliaty Zulkiffli


“SAYA mulanya buat biskut Covid-19 ni sekadar suka-suka sebelum muat naik di Facebook. Tak sangka ramai yang berminat dan membuat tempahan, ” kata Nur Yursila Mat Rani, 37.

Menurutnya, idea untuk menghasilkan biskut itu tercetus apabila melihat situasi sekarang selain Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang akan memasuki Fasa ketiga.

Menurutnya, dia mula membuka tempahan biskut Covid-19 sejak minggu lalu dengan mempromosikannya melalui Facebook.

Katanya, antara ikon kartun pada biskut yang dihasilkannya termasuk bentuk pakaian doktor, sabun, jururawat, logo Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) selain ikon berunsur nasihat menjaga kebersihan.

“Sememangnya biskut ini menjadi kegilaan kanak-kanak kerana warnanya yang unik selain kartun yang comel.

“Ada yang sayang nak makan sebab ia nampak cantik selain rasanya yang sedap,” katanya.

Nur Yursila berkata, dia mampu menghasilkan 1,000 keping biskut sehari dan menjualnya dengan harga RM40 untuk 45 keping biskut atau satu balang.

Katanya, ini saja yang dapat dilakukannya untuk menjana pendapatan ketika PKP selain menghiburkan hati pelanggan terutama kanak-kanak supaya tidak bosan berada di rumah.

BISKUT imej ikon kartun Covid-19 yang dihasilkan Nur Yursila mendapat tempahan laris dari orang ramai. FOTO Zuliaty Zulkiffli
BISKUT imej ikon kartun Covid-19 yang dihasilkan Nur Yursila mendapat tempahan laris dari orang ramai. FOTO Zuliaty Zulkiffli

Tambahnya, dia turut menyediakan biskut berbentuk kartun tumbuhan dan serangga bergantung pada tempahan pelanggan.

“Untuk tempahan raya juga dialu-alukan dan kami turut melakukan penghantaran ke rumah di sekitar Alor Setar dan Jitra yang diuruskan Pengurus Jualan, Mohd Najmuddin Mohd Noor, 33.

“Orang ramai juga boleh menempah biskut Covid-19 ini dengan melayari Facebook saya di Nur Yursila Mat Rani untuk membuat tempahan,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 April 2020 @ 3:42 PM