FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Mohd Roji Kawi

SARAWAK belum membuat keputusan sama ada membenarkan kedai gunting rambut beroperasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kekal tutup sehingga situasi Covid-19 pulih sepenuhnya.

Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan negeri, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, Sarawak tidak terikat sepenuhnya dengan keputusan yang diumumkan Kerajaan Persekutuan berhubung isu itu.

Beliau berkata, kerajaan Sarawak sedar, isu membenarkan operasi kedai gunting rambut itu menjadi perbincangan hangat di media sosial ketika ini.

“Secara peribadi, bagi saya kedai gunting rambut dan pusat salon sepatutnya masih belum dapat dibuka dalam keadaan sekarang.

“Tetapi kita (kerajaan negeri) akan membuat keputusan mengenainya sama ada kita membenarkan beroperasi atau tidak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media harian Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) di Wisma Bapa Malaysia di sini, hari ini.

Abdul Karim yang juga Timbalan Pengerusi JPBNS berkata, pihaknya bagaimanapun bersetuju untuk membenarkan kedai perkakasan, kedai input pertanian, bengkel kereta dan motosikal serta kedai bateri dan tayar beroperasi dua kali seminggu.

Sebelum ini semua syarikat atau kontraktor yang menyediakan perkhidmatan pembaikan dan penghantaran bekalan air serta elektrik adalah dibenarkan beroperasi.

“Kita mengambil maklum akan arahan terbaharu dari Kerajaan Persekutuan berhubung beberapa sektor perniagaan lain yang dibenarkan beroperasi dalam tempoh PKP.

“Bagaimanapun, Sarawak akan mengkaji senarai tersebut dan akan membuat keputusan berdasarkan keperluan di Sarawak,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 April 2020 @ 8:09 PM