Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir
Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir
Tuty Haryanti Ahmad Rodzi


Kuala Lumpur: Kilang kelapa sawit di Ulu Keratong, Rompin, Pahang diarahkan menghentikan operasi serta merta selepas didapati menyebabkan pencemaran sungai.

Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, arahan itu selaras dengan notis arahan di bawah Seksyen 31 Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) cawangan Rompin.

Katanya, kilang terbabit diarah memberhentikan operasi mengilang buah kelapa sawit serta merta sehingga notis arahan ditarik balik oleh JAS.

"Jika gagal mematuhi arahan tersebut boleh menyebabkan lesen syarikat berkenaan digantung, dibatal atau tidak diperbaharui di bawah Peraturan 15(1), Peraturan-Peraturan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (Perlesenan) 2005," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Jumaat lalu dilaporkan, pemeriksaan oleh JAS dan Pengurusan Air Pahang Berhad mendapati sebuah kilang kelapa sawit menjadi punca pencemaran air Sungai Pukin.

Kejadian itu dipercayai berpunca dari tebing salah satu kolam rawatan sisa sawit yang runtuh sehingga menyebabkan sisa tersebut mengalir ke alur sungai.

Sementara itu Dr Ahmad Parveez berkata, MPOB menggesa semua kilang kelapa sawit supaya sentiasa mematuhi peraturan MPOB dan JAS dalam penjagaan alam sekitar terutama ketika tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Katanya, MPOB sentiasa bekerjasama dengan JAS bagi membendung pencemaran alam sekitar termasuk pencemaran sungai akibat aktiviti pengilangan sawit.

"Ini termasuk memantau dan melakukan pemeriksaan secara berkala ke atas kilang kelapa sawit bagi memastikan pematuhan sistem pengolahan efluen dan had pelepasan yang ditetapkan," katanya.

Orang ramai yang mempunyai pertanyaan atau aduan boleh e-mel di [email protected] atau menghubungi talian 03 8769 4400.

#kw MPOB, kilang, sawit, tutup, operasi, cemar, sungai, Rompin, Kuala Lumpur

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Julai 2021 @ 2:11 PM