NIK Mohd Fadly memberi makan kepada kucing peliharaan jirannya sejak hari pertama PKP. FOTO ihsan FB
NIK Mohd Fadly memberi makan kepada kucing peliharaan jirannya sejak hari pertama PKP. FOTO ihsan FB
Redzuan Muharam


“SAYA tidak sampai hati melihat kucing itu kelaparan kerana haiwan juga seperti manusia, perlu diberi makan dan perhatian,” kata Nik Mohd Fadly Nik Mat.

Nik Mohd Fadly, 37, memberi reaksi itu ketika diminta berkongsi kisah dimuat naiknya di Facebook (FB), Isnin lalu.

Menerusi hantaran itu, Nik Mohd Fadly menceritakan rutin hariannya sejak hari pertama Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) iaitu memberi makanan kepada dua ekor kucing peliharaan jirannya .

Bercerita lanjut, Nik Mohd Fadly yang menetap di Nusari Aman 2 ( RATNA2), Bandar Seri Sendayan, Negeri Sembilan berkata, dia mengambil alih tanggungjawab itu kerana jirannya berada di Alor Setar , Kedah dan tidak dapat pulang berikutan PKP dikuatkuasakan oleh kerajaan bermula 18 Mac lalu .

“Jiran saya pulang ke kampung halamannya sebelum PKP bermula lagi jadi saya dengan sukarela mengambil tanggungjawab memberi makan kepada kucing peliharaannya.

“Rutin itu bermula sejak hari pertama PKP yang mana saya akan beri makan dan membersihkan sangkarnya setiap pagi antara jam 9 hingga 11 pagi .

“Memandangkan tempoh PKP dilanjutkan, rutin ini akan diteruskan setiap hari. Lagipun, saya bekerja dari rumah dalam tempoh PKP jadi tiada masalah untuk membantu,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Nik Mohd Fadly berkata, jirannya bukan tidak bertanggungjawab langsung sebaliknya ada menghubunginya untuk mengetahui keadaan kucing dan selain mahu memberi wang untuk membeli makanan.

Namun, Nik Mohd Fadly faham dengan situasi semasa dan tidak keberatan membantu kerana menganggap ia sebahagian tanggungjawabnya sebagai jiran.

Menurut Nik Mohd Fadly, kebiasaannya dia berseorangan tetapi kadangkala dibantu anaknya yang mengingatkan untuk memberi makan kepada kucing apabila tiba waktunya.

“Tujuan saya berkongsi kisah itu di FB adalah sebagai peringatan untuk tidak lupa membantu haiwan jiran yang tiada di rumah dan Alhamdulillah ramai memberi kata positif.

“Namun, ada juga menuduh saya memuat naik hantaran berkenaan untuk menunjuk kebaikan dibuat tetapi terpulang kepada penilaian mereka.

“Malah, saya pasti ramai di luar sana prihatin dan melakukan perkara sama,” katanya yang bertugas sebagai Pegawai Kebudayaan Unit Komunikasi Korporat Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN).

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 April 2020 @ 4:45 PM